Pencerobohan Lahad Datu – Tidak Jejas Operasi FELDA Sahabat

HULU TERENGGANU – Operasi FELDA Sahabat di Lahad Datu, Sabah tidak akan terjejas walaupun ketika ini kawasan tersebut masih lagi diisytihar sebagai kawasan kawalan keselamatan berikutan pencerobohan pengganas dari negara jiran.

Pengarah Seranta FELDA, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata pihaknya yakin dengan kawalan pasukan keselamatan ketika ini dalam menjamin keselamatan kira-kira 3,000 penduduk termasuk 1,700 peneroka dalam kawasan FELDA Sahabat.

“FELDA Sahabat mempunyai kira-kira 1,700 peneroka dengan keluasan kawasan melebihi 100,000 hektar dan dengan kawalan unit keselamatan FELDA dibantu oleh polis dan tentera.

“Kita yakin tidak timbul sebarang masalah dan peneroka dapat meneruskan pekerjaan harian mereka seperti biasa bila keadaan sudah terkawal,” katanya kepada BERNAMA ketika ditemui pada majlis Klik Dengan Bijak (KDB) anjuran Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) di FELDA Banding di Hulu Terengganu, Sabtu.

Beliau berkata ketika kini peneroka dan penduduk di Felda Sahabat masih lagi ditempatkan di satu kawasan yang selamat dan pihaknya sudahpun membekalkan keperluan seperti makanan kepada mereka yang terbabit.

Menurutnya, langkah penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu pastinya lebih memberi keyakinan kepada penduduk untuk meneruskan aktiviti harian masing-masing. – BERNAMA

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.