FGV Labur RM283.5 Juta Untuk Tanah Baru di Indonesia

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) akan melabur RM283.5 juta dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang untuk membangunkan tanah yang baru diperoleh di Kalimantan Barat, Indonesia.

Pengerusi FGV Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata pelaburan berkenaan meliputi kos pertanian (RM236.76 juta) dan perbelanjaan modal (RM46.79 juta) bagi kawasan seluas 21,037 hektar yang diperoleh unitnya, Felda Global Ventures Kalimantan Sdn Bhd (FGVK).

FGVK Selasa memperoleh 95 peratus pegangan setiap satu dalam PT Temila Agro Abadi dan PT Landak Bhakti Palma pada RM44 juta di Kalimantan Barat, Indonesia.

Perjanjian pertama melibatkan pemerolehan kepentingan dalam PT Temila pada RM25.7 juta, yang memiliki 8,193 hektar tanah di daerah Sebangki di Landak, Kalimantan Barat untuk dimajukan kepada ladang kelapa sawit.

Sehingga kini, sebanyak 725 hektar sudah ditanam dengan kelapa sawit.

Perjanjian kedua yang terlibat pemerolehan PT Landak Bhakti pada RM18.3 juta yang memiliki 12,844 hektar tanah getah di wilayah Sekadau.

Isa berkata pembelian untuk pengambilalihan itu akan dibiayai daripada hasil tawaran awam permulaan sebanyak RM4.46 bilion yang kumpulan masih mempunyai RM3.85 bilion.

Beliau berkata pengambilalihan berkenaan merupakan pelaburan strategik dalam dua komoditi teras yang dijangka dapat meningkatkan pendapatan masa depan dan nilai pemegang saham kumpulan.

“Tambahan pula, tanah PT Temila tanah bersebelahan dengan PT Citra Niaga Perkasa.

“Oleh itu, pengambilalihan itu memberikan peluang untuk kami mencapai ekonomi yang menguntungkan dengan berkongsi tapak semaian dan kilang minyak sawit serta mengurangkan kos buruh,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli di sini hari ini.

Isa berkata kumpulan itu kini dalam perancangan untuk memperoleh lebih banyak tanah di luar Malaysia dan negara-negara yang kini berada dalam perhatiannya termasuk Myanmar, Kemboja dan Papua New Guinea. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.