Terengganu Dilanda Banjir Gelombang Kedua

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang kedua mula melanda Terengganu apabila 155 orang daripada 45 keluarga di daerah Kemaman dipindahkan sejak awal pagi semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga pukul 9 pagi ini, tiga pusat pemindahan mangsa banjir dibuka di daerah itu iaitu Balai JKKK Padang Kubu yang menempatkan 87 orang (26 keluarga), Berek Kilang Padang Kubu (33 orang dari lapan keluarga) dan Rumah Pegawai Sungai Mas (35 orang dari 11 keluarga).

Kesemua mereka mula berpindah ke pusat pemindahan kira-kira pukul 8 pagi semalam berikutan kawasan kediaman mereka yang rendah dinaiki air limpahan hujan.

Dalam kejadian banjir gelombang pertama baru-baru ini, daerah Kemaman merupakan kawasan yang teruk terjejas menyebabkan berpuluh ribu orang terlibat dalam musibah itu.

Sementara itu, di daerah Kuala Terengganu, cuaca buruk pagi ini dengan angin kencang disertai hujan lebat sekali-sekala. – Utusan Malaysia

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.