#MH370 Hilang: Tidak Disebut Terhempas Atau Tiada Yang Terselamat – Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyebut perkataan “terhempas atau tiada yang terselamat” semasa mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Perkara ini dijelaskan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang akhbar rutin hari ini berikutan tuntutan maaf keluarga penumpang warga China daripada kerajaan Malaysia.

“Sebahagian daripada sebab-sebab permohonan itu dibuat berikutan dakwaan bahawa perdana menteri atau kerajaan telah menyatakan bahawa pesawat itu sebenarnya telah terhempas dan tiada yang terselamat.

Perkara itu benar-benar salah..Tidak disebut terhempas atau tiada yang terselamat,” katanya memetik kenyataan Najib pada 24 Mac.

Semasa membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, Najib berkata: “Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu saya dengan perasaan amat sedih dan terharu ingin memaklumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi”.

Pengumuman itu mencetuskan kekecewaan di kalangan sanak saudara penumpang dan anak kapal terbabit dan menggesa kerajaan supaya memberikan keterangan konkrit dalam dapatan mereka.

Pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata, usaha mencari sebarang serpihan yang dicerap satelit berkemungkinan berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines itu akan diteruskan.

Walaupun serpihan yang ditemui di Lautan Hindi didapati tidak berkaitan dengan pesawat malang itu, Hishammuddin berkata tiada garis masa bagi operasi mencari.

“Kami perlu berlaku adil kepada anggota keluarga (penumpang dan anak kapal). Buat masa ini usaha itu tidak akan dikurangkan. Apa yang berlaku selepas ini, kami telah berbincang tetapi ia tidak sesuai untuk berkongsi dengan orang ramai untuk berlaku adil kepada anggota keluarga,” katanya. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply