Album ‘A Malaysian Journey’ Ketengah Industri Seni Kreatif Negara

KUALA LUMPUR – Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menetapkan Enam Pelan Tindakan sebagai alternatif bagi merancakkan aktiviti seni persembahan negara agar lebih dikenali, terutama dalam kalangan pelancong luar.

Antara inisiatif di bawah pelan itu ialah Pelan Tindakan 1 iaitu ‘pembangunan kandungan tempatan’ menampilkan seorang pemain biola elektrik profesional tempatan Dennis Lau yang menempa nama di persada antarabangsa.

“Penglibatan Dennis Lau dengan menerbitkan album ‘A Malaysian Journey’ diilhamkan sebagai satu projek yang berdaya maju dalam pembangunan bakat dan kandungan seni muzik Malaysia,” kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam ucapan perasmian majlis pelancaran dan sidang media A Malaysian Journey di Saloma Bistro Khamis.

Lau merupakan rakyat Malaysia termuda yang lulus gred 8 dalam ‘Associated Board of The Royal Schools of Music (ABRSM)’ pada usia 11 tahun dan beliau mula bermain biola sejak berumur lapan tahun.

Mohamed Nazri berkata penerbitan album itu akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha serta penghasilan artis Malaysia daripada berbilang kaum bagi mencorakkan keharmonian dan perpaduan melalui industri muzik tanah air.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Dr Ong Hong Peng.

Mohamed Nazri turut menyeru pihak industri agar menyahut seruan dan memberi kerjasama bagi menjadikan seni persembahan sebagai satu pelaburan untuk menjana ekonomi negara.

Mengulas industri pelancongan negara, Ong berkata melalui keasyikan muzik yang diadun dalam album itu mampu memberi pendedahan kepada pelancong mengenai keindahan alunan muzik Malaysia.

Beliau berkata penyatuan dua sektor di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan adalah satu landasan penting yang mampu melonjakkan lagi karya seni serta budaya tempatan ke peringkat global.

Sementara itu, A Malaysian Journey bukan sahaja menampilkan Lau sebagai artis utama malah melibatkan tujuh artis terkenal tanah air iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Datuk David Arumugam, Amy Search, Ning Baizura, Vince Chong, Shanel dan Shazroul.

Album ini memuatkan sepuluh lagu dengan sembilan daripadanya adalah lagu popular manakala bakinya merupakan lagu baharu yang digubah khas. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.