Jadikan Masjid Pusat Ilmu, Budaya Dan Pembangunan Masyarakat – Sultan Nazrin Shah

BATU GAJAH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mahu masjid tidak hanya dijadikan pusat ibadah solat sebaliknya peranan institusi itu perlu diperkukuh sebagai pusat perkembangan ilmu, budaya dan pembangunan masyarakat.

Baginda bertitah institusi masjid perlu terus berperanan sebagai tapak semaian mencanai minda berilmu dan membina sahsiah insan solihin selain terus berfungsi sebagai penjana tamadun Islam yang agung.

“Sebaik bertapak di Madinah semasa peristiwa hijrah, Nabi Muhammad bersama-sama rombongan bergotong-royong membina masjid.

“Baginda tidak sekadar membina masjid tetapi telah membangunkan sebuah pusat kegiatan untuk usaha menyebar dan mengembangkan risalah Islam,” titah baginda ketika berkenan mengisytiharkan nama dan merasmikan Masjid Toh Puan Besar Hatijah, yang sebelum ini merupakan Masjid Daerah Batu Gajah, di sini pada Isnin.

Masjid yang dirasmikan itu, titah baginda, mempunyai sejarah panjang sejak 1930-an kerana pada mulanya, ia sebuah masjid yang dibina daripada kayu di tanah tapak asal milik dan diwakaf oleh nenda baginda Toh Puan Besar Hatijah.

Ketika menyentuh pembabitan ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Shah terhadap pembinaan masjid itu, Sultan Nazrin Shah kelihatan sebak dan sesekali mengesat air mata.

Baginda bertitah pada akhir 2006, Sultan Azlan Shah menitahkan agar masjid itu dibina semula dan kerja-kerja berkenaan dimulakan pada 9 Okt 2008 di bawah perhatian serta pemantauan langsung Almarhum.

Pembinaan masjid itu merupakan projek terakhir yang diberi tumpuan dan menyaksikan pembabitan secara langsung Sultan Azlan Shah.

“Sejauh mana Almarhum merantau dan setinggi mana Almarhum mencapai kejayaan, Almarhum senantiasa mencari masa untuk kembali memijakkan kaki di bumi Batu Gajah untuk menyedut udara daripada atmosfera Batu Gajah.

“Rumah Allah ini adalah hadiah kenangan daripada Almarhum kepada masyarakat Batu Gajah yang sangat nostalgik dalam ingatan Almarhum,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin Shah, Almarhum telah berkenan menamakan masjid itu sebagai Masjid Toh Puan Besar Hatijah, yang melambangkan satu pengabadian penghargaan seorang putera kepada bondanya.

“Almarhum tidak sempat untuk bersolat di masjid yang telah dibina semula ini.

“Almarhum telah meninggalkan wasiat agar masjid ini dirasmikan bersempena Ramadan 1435 Hijrah dan majlis berbuka puasa pertama Sultan bersama rakyat pada tahun ini hendaklah diadakan di masjid ini,” titah baginda.

Sultan Nazrin Shah kemudian berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah bersama-sama umat Islam di masjid itu.

Terdahulu, Sultan Nazrin Shah bersama adinda baginda iaitu Raja Datuk Seri Azureen dan Raja Datuk Seri Eleena serta kerabat diraja yang lain menziarahi makam Toh Puan Besar Hatijah di Tanah Perkuburan Islam Segedup. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.