Krisis MB Selangor: BN Beri Sokongan ‘Ikhlas, Tanpa Syarat’ Kepada Khalid

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dilantik menjadi exco bagi mengisi kekosongan kerusi akibat pemecatan lima wakil DAP dan PKR tidak timbul kerana parti memberi sokongan ‘ikhlas dan tanpa syarat’ kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

“Kita melakukannya demi rakyat. Mereka memerlukan kerajaan negeri yang stabil bagi memastikan pentadbiran lancar supaya isu-isu seperti air dapat ditangani secara efektif,” kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar dalam satu temuramah pada Rabu.

Kesemua wakil BN dalam Dewan Undangan Negeri Selangor dari Umno. DAP dan PAS masing-masing 15 wakil dan 13 dari PKR.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN akan menyokong Khalid untuk terus memerintah Selangor berdasarkan “beberapa dasar, sebab dan prinsip”.

Noh berkata, walaupun Umno dan BN tidak mahu terlibat dalam krisis Pakatan Rakyat, mereka tetap memberi sokongan kepada Khalid demi rakyat.

“Tidak sepatutnya mempersoalkan sama ada wakil dari Umno akan dilantik menjadi anggota exco kerana BN memperjelaskan bahawa sokongan kita tanpa syarat,” katanya, sambil menekankan bahawa Umno tidak akan menuntut Khalid untuk melantik Adunnya bagi mengisi kekosongan jawatan exco yang dipecat itu.

“Tidak akan ada perbincangan atau mana-mana jemputan pun (dari Khalid) berhubung isu ini,” kata Noh.

Lembaga Disiplin PKR memecat Khalid dari parti kerana enggan mematuhi kehendak parti untuk meletakkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun, Sultan Selangor memperkenankan Khalid untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Pada Selasa, Khalid memecat dua exco PKR dan tiga exco DAP selepas mereka mengeluarkan kenyataan bersama dengan menubuhkan gagasan untuk menghadkan kuasa beliau sebagai menteri besar.

Khalid menangguhkan keputusan untuk memecat seorang lagi exco PKR yang pada masa ini berada di luar negara atas urusan kerajaan negeri.

Mengikut Artikel 53 (2) B Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, ia menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat anggota Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri (MMKN) untuk mentadbir negeri secara sah.

Manakala empat lagi exco PAS dilaporkan akan meletakkan jawatan sekiranya wakil rakyat Umno menganggotai kabinet Selangor. – mStar Online

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.