#MH17: Wajar Untuk Bawa Balik Serpihan Bangkai – Liow

GEORGE TOWN – Kerajaan komited untuk membawa balik serpihan bangkai pesawat MH17 di samping mencari tujuh lagi mayat mangsa warga Malaysia di lokasi kejadian, kata Menteri Pengangkutan Datuk seri Liow Tiong Lai.

“Selain usaha mencari mayat, kami juga perlu membawa balik serpihan bangkai pesawat supaya kita boleh mendapatkan hasil siasatan terperinci,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen tahunan MCA Pulau Pinang di sini Sabtu.

Liow berkata tujuh daripada 43 mangsa warga Malaysia masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata pasukan siasatan Malaysia di Ukraine sudah bersedia dan mempunyai kelengkapan penuh bagi menghadapi musim sejuk yang dijangka tidak lama lagi.

“Sebagai persediaan musim sejuk, kami sedang mendapatkan pakar-pakar kita, pegawai Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan jurutera untuk bersedia membawa balik serpihan bangkai pesawat pada bila-bila masa,” katanya.

Penerbangan MH17 terhempas di wilayah timur Ukraine pada 17 Julai lepas, dipercayai ditembak jatuh, ketika membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Sejumlah 43 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777-200 dan setakat ini 36 mangsa telah dikenal pasti. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.