10 Pelajar Felda Ke New York Jadi Mentor Kepada Generasi Baharu – Datuk Faizoull

KUALA LUMPUR – 10 orang pelajar dari Wilayah Felda yang terpilih untuk menyertai majlis pelancaran Global Science, Technology, Engeneering & Mathematics (STEM) Alliance di New York bakal diangkat menjadi mentor kepada generasi baharu Felda, kata Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Faizoull Ahmad, hari ini.

Beliau berkata, pemilihan 10 pelajar tersebut untuk menyertai majlis besar itu adalah merupakan proses pembelajaran dan pengalaman yang akan dikongsi bersama generasi Felda baru yang lain sekembalinya kumpulan pelajar ini dari New York.

20140915_152106

“Mereka semua ini akan menjadi mentor generasi baru dan Felda akan menaik taraf makmal sekolah-sekolah secara kondusif dalam kawasan Felda yang terpilih untuk menjadi sekolah yang diiktiraf seperti ‘Smart School’ misalnya.

“Sepanjang para pelajar ini di sana, mereka akan didedahkan kepada ilmu Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan (Engeneering) negara termaju di dunia itu. Bagaimana komuniti negara itu menggunakan perkembangan STEM. Pelajar-pelajar ini akan melihat sendiri ‘research centre’ negara itu secara dekat. Jadi, pengalaman itu akan dibawa pulang dan dikongsi bersama-sama dengan kita (warga Felda),” kata Faizoull ketika sidang media mengenai program ini di Menara Felda, di sini.

Tambah Faizoull, komitmen Felda menghantar pelajar-pelajar Felda ke luar negara seperti New York adalah juga satu cara untuk membentuk generasi baharu Felda ke arah minda terbuka dan tidak takut kepada cabaran yang mendepani mereka di masa hadapan.

“Program STEM dengan kerjasama UKM ini adalah tujuan untuk kita membentuk generasi baharu Felda kepada pemikiran yang lebih terbuka dan tidak takut dengan perubahan yang berlaku sekarang.

“Kita yang lebih dewasa dari mereka ini masih lagi belajar, apatah lagi mereka yang muda remaja lebih lagi mahu belajar. Jadi, ini mengajar mereka bagaimana untuk ‘adapt’ kehidupan dan perkembangan kecanggihan dari negara yang canggih, dan ke depan dalam bidang STEM yang seterusnya menjadikan bimbingan buat Felda sendiri untuk membawanya ke kawasan luar bandar.

“Dan kalau kita majukan warga Felda lebih lagi, kita perlu buat sekarang seperti adanya program ini. Inilah yang diperlukan untuk jadikan warga Felda maju di masa akan datang,” katanya.

10 pelajar dari sekolah dalam wilayah Felda ini akan berada di New York bermula dari 16 September sehingga 26 Septembar.

Para pelajar ini akan terlibat dengan ‘Workshop STEM’ di mana ia hanya melibatkan pelajar-pelajar dari Felda sahaja dan para pelajar ini akan diberikan sijil penglibatan dari syarikat terkemuka dunia itu.

Malah, para pelajar ini turut dibawa untuk melawat Bronx High School of Science, Cold Spring Harbour Laboratory, Harbor School dan bakal menyertai STEM Competition Next Step dan GOOGLE Science Fair Talk.

Para pelajar ini merupakan pelajar yang terpilih dari 226 pelajar yang terlibat semasa perkhemahan Bitara STEM pada bulan Julai lalu.

Program ini merupakan program pertama anjuran bersama Felda dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

20140915_151703

 

– Baca juga berita lain mengenai 10 Pelajar ke New York di sini.

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.