Pantau Pergerakan Anak-anak Elak Direkrut Kongsi Gelap

ALOR SETAR – Polis Kedah mengingatkan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak masing-masing supaya tidak terjebak dalam kegiatan kongsi gelap yang kini dipercayai aktif merekrut anggota baharu.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata ini kerana ketua kongsi gelap akan menjanjikan kemewahan kepada anggota baharu terutamanya pelajar sekolah sekiranya menyertai kumpulan mereka.

“Ibu bapa perlu lihat sebarang perubahan pada anak-anak mereka. Kalau sebelum ini mereka tiada motosikal dan sekarang ada motosikal mereka perlu lihat daripada mana anak mereka mendapatkan wang untuk membeli motosikal.

“Kita tak mahu anak-anak muda ini yang tiada pekerjaan mudah sertai kongsi gelap dengan menjual dadah dan melakukan kegiatan jenayah lain,” katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan khas bersama warga polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Selasa.

Sementara itu, Ahmad berkata polis sentiasa melakukan pemantauan dan memfokuskan kawasan berisiko tinggi yang menjadi tumpuan anggota kongsi gelap seperti di Sungai Petani, Kuala Ketil, Kulim dan Kota Setar.

Beliau berkata polis tidak pernah mengabaikan lokasi berisiko tinggi berlakunya jenayah dan sentiasa melakukan rondaan dari semasa ke semasa dalam usaha melumpuhkan kumpulan kongsi gelap.

“Kita turut menfokuskan kepada beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan kongsi gelap,” katanya. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.