Rakyat Perlu Wujudkan Budaya 1 Usahawan 1 Keluarga

SHAH ALAM – Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menyeru rakyat negara ini supaya mewujudkan budaya satu usahawan untuk satu keluarga bagi memastikan Malaysia mampu mencapai status negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata langkah itu mampu melahirkan lebih ramai usahawan sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini.

“Untuk Malaysia mendapat kriteria negara maju seperti United Kingdom, Jepun, Korea dan Singapura, maka lebih ramai usahawan perlu diwujudkan.

Apabila kita menjadi usahawan, kita mampu menambah kekayaan dari segi harta dan pelaburan…langkah ini pastinya akan meningkatkan taraf hidup kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Peluang dan Jaringan Perniagaan anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang turut dihadiri pengerusinya Dr Zubir Harun di sini, hari ini.

Ahmad berkata rakyat khususnya dari kalangan bumiputera seharusnya berani meneroka peluang perniagaan dan tidak bergantung hidup dengan makan gaji semata-mata.

Jelasnya, aktiviti perniagaan bukan sahaja mampu memberikan pendapatan yang lumayan malah dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada keluarga.

“Kalau kita lihat di Malaysia masyarakat Cina lebih ke hadapan dalam aktiviti berniaga ini dan kebanyakan bumiputera lebih suka untuk makan gaji.

Sekadar makan gaji kita tidak boleh kaya…jangan biasakan juga anak kita kerja makan gaji…apabila ada perniagaan, perniagaan ini kita boleh wariskan kepada anak-anak,” katanya.

Mengulas mengenai AIM, Ahmad berkata AIM telah mengeluarkan pembiayaan pinjaman berjumlah RM11.27 bilion sejak 1986, kepada 350,000 peminjam seluruh negara.

Katanya, pada tahun ini, AIM memperuntukkan sebanyak RM2.13 bilion bagi membiayai program ekonomi dan perniagaan peminjamnya. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.