Ketidaktentuan Saham FGV Disebabkan Harga MSM

KETIDAKTENTUAN harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) merupakan cerminan harga minyak sawit mentah (MSM) dan bukan berasaskan kedudukan kewangan syarikat semata-mata.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah berkata, memandangkan FGV merupakan syarikat perladangan semata-mata, pergerakan harga sahamnya berkait rapat dengan harga MSM.

“Keuntungan syarikat sebenarnya meningkat,” katanya sebagai respons kepada soalan mengenai penurunan harga saham FGV baru-baru ini.

Mohd Emir bercakap, kepada pemberita di luar Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik (POC), di Kuala Lumpur hari ini.

FGV sedang menumpukan kepada peningkatan produktiviti dan tuaian di semua ladangnya.

“Kadar perahan minyak kami meningkat 0.1 peratus,” kata Mohd Emir dan menambah FGV juga berada di landasan untuk mencatat pendapatan RM100 bilion menjelang 2020.

Mengenai penggunaan baki 10 peratus daripada hasil penyenaraian syarikat, beliau berkata, ia akan diguna untuk mengembangkan segmen huluan.

Berhubung Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) yang dikata merumitkan perakaunan nilai saksama syarikat dan seterusnya menjejaskan keuntungan dalam keputusan tahun kewangan baru-baru ini, Mohd Emir berkata ia sedang disemak semula.

“Kami sedang menyemak semula bagi memastikan LLA mempunyai aspek kebolehramalan lebih tinggi memandangkan kebimbangan ialah berhubung turun naik dalam perjanjian.

“Kami unik kerana merupakan satu-satunya syarikat perladangan yang mempunyai LLA dalam sistem kami. Jika anda perhatikan, perladangan adalah perniagaan jangka panjang dan kami percaya FGV antara yang terbaik di rantau ini.

“Pada masa ini kami sedang berbincang dengan rakan-rakan di Felda (Holdings Berhad) untuk mendapatkan mekanisme yang lebih baik bagi LLA,” katanya.

Mohd Emir berharap perbincangan tersebut dapat dimuktamadkan dalam separuh pertama tahun ini.

FGV juga mengadakan jerayawara bagi mendidik pelabur mengenai perniagaannya, terutama berkenaan LLA, bagi memulihkan keyakinan mereka.

Di bawah LLA, FGV perlu membayar Felda jumlah tetap RM250 juta setahun secara tunai selama 20 tahun dan berkongsi 15 peratus keuntungan operasi daripada tandan buah segar yang dituai di ladang yang tanahnya dipajak.

Segmen perladangan teras FGV mencatatkan keuntungan lebih rendah 39.5 peratus disebabkan caj nilai saksama LLA berjumlah RM172.84 juta tahun lepas berbanding keuntungan berjumlah RM494.49 juta bagi 2013.

Sekiranya tidak termasuk LLA, segmen itu mencatat keuntungan lebih tinggi pada RM877.4 juta berbanding RM669.7 juta pada 2013.

Setakat 4.06 petang tadi, kaunter FGV menokok sembilan sen kepada RM2.28 dengam 5.69 juta saham bertukar tangan. – SINAR HARIAN

 

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.