Larikan Buku Cek, Vanidah Imran Dilucutkan Jawatan Dalam Seniman

KEMELUT Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) terlerai apabila bendaharinya, Vanidah Imran dilucutkan jawatannya selepas melarikan buku cek.

Presidennya Zed Zaidi berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa yang bersidang pada Mac lalu berjaya mendapat undi majoriti daripada Ahli Jawatankuasa untuk menyingkirkan Vanidah daripada memegang jawatan berkenaan.

“Pelucutan tersebut dibuat atas sebab dia (Vanidah) tidak mendengar arahan jawatankuasa agar menyelesaikan bil tertunggak, gaji pekerja, bayaran sewaan dan lain-lain sekali gus meyukarkan pentadbiran Seniman.

“Dan jawatan tersebut kini diambil alih oleh pelakon Zarina (Raja Lawak),” katanya kepada mStar Online.

Konflik yang berlaku dalam AJK Seniman bermula apabila Vanidah ‘melarikan’ buku cek persatuan tersebut dan tidak memberi kerjasama kepada persatuan ketika diminta untuk mengeluarkan wang bagi menjalankan operasi serta membayar gaji pekerja.

Perbuatan Vanidah itu memaksa Zed Zaidi membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati pada 19 Disember 2014.

 

Zed Zaidi

Keadaan bertambah rumit apabila pada awal Januari lalu, enam AJK baharu iaitu Rashidi Ishak (Pengerusi Biro Sukan & Sosial), Datin Sofia Jane (Pengerusi Biro Pelakon), Khir Rahman (Pengerusi Biro Pendidikan Seni & Latihan), Arash Mohd (Pengerusi Biro Pemantauan & Penguatkuasaan), Sharifah Amani (Ketua Biro Seniman Muda) dan Lisa Surihani (Pengerusi Biro Sukarelawan & Penajaan) mengeluarkan kenyataan media mempertahankan tindakan Vanidah yang menyimpan buku cek itu.

Kenyataan itu turut menyentuh beberapa isu semasa berkaitan persatuan dan ahli-ahlinya termasuk beberapa hal pentadbiran yang perlu diperkemaskan termasuklah keengganan Zed Zaidi mengadakan mesyuarat selepas disuarakan oleh AJK.

Sementara itu, Zed berkata, suami Vanidah iaitu Rashidi turut menarik diri sebagai Pengerusi Biro Sukan & Sosial secara lisan dan masih belum menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Zed menegaskan, artis yang memegang jawatan dalam persatuan harus bertanggungjawab dalam segala hal walaupun sibuk dengan kerjaya.

“Prinsip dalam persatuan senang sahaja. Kita buat kerja sukarelawan dan jika tidak boleh memberi komitmen, jangan ambil tanggungjawab jika tidak mampu kerana ia akan menyusahkan semua orang.

“Kita mahukan AJK persatuan adalah individu yang boleh buat kerja dan bukan berdasarkan populariti,” tegasnya.

Dalam pada itu Vanidah yang  ketika dihubungi mStar Online enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut. – MSTAR ONLINE

 

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.