Gempa Nepal: Hampir Sejuta Kanak-kanak Tidak Dapat Ke Sekolah – UNICEF

KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 950,000 kanak-kanak di Nepal tidak dapat pulang ke sekolah selepas gempa bumi, baru-baru ini, kecuali ruang belajar baharu disediakan dan sekolah yang rosak diperbaiki, menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF).

Hampir 24,000 bilik kelas musnah dalam gempa bermagnitud 7.8 itu yang melanda Nepal 25 April lalu. UNICEF dalam kenyataannya menyebut, tahap krisis pendidikan dijangka meningkat dalam beberapa hari dan minggu akan datang bila maklumat selanjutnya diterima dari kawasan terpencil.

Sekolah hanya dijangka dibuka semula pada 15 Mei.

Wakil UNICEF di Nepal, Tomoo Hozumi dalam kenyataannya berkata, kanak-kanak memerlukan bantuan segera seperti air bersih dan tempat berlindung.

Di daerah yang dilanda teruk seperti Gorkha, Sindhupalchok dan Nuwakot, dianggarkan lebih 90 peratus sekolah musnah, sementara sekitar 80 peratus bangunan sekolah runtuh di Dhading.

Di kawasan lain, termasuk Kathmandu dan Bhaktapur, kira-kira sembilan di setiap 10 sekolah yang terselamat digunakan sebagai tempat perlindungan kecemasan.

UNICEF bimbang kemajuan yang dicapai dalam tempoh 25 tahun lalu bagi meningkatkan enrolmen pelajar sekolah rendah di Nepal – daripada 64 peratus pada tahun 1990 kepada lebih 95 peratus hari ini – boleh mengalami kemunduran serius selepas gempa berkenaan.

Melahirkan keprihatinannya terhadap masalah keciciran pelajar yang tinggi, Hozumi berkata, sekitar 1.2 juta kanak-kanak Nepal berusia antara lima tahun dan 16 tahun tidak pernah bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan.

UNICEF dan pihak berkaitan kini sedang berusaha sedaya mungkin untuk memastikan pelajar dapat bersekolah semula. Ini termasuk menyediakan ruang pelajar sementara di 14 daerah yang terjejas.

UNICEF juga telah melancarkan kempen rayuan bantuan AS$50 juta (kira-kira RM170 juta) bagi membantu operasi pemulihan di Nepal dalam masa tiga bulan akan datang. – BERITA HARIAN

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply