Cub Prix: Razali Yakin Kemampuan Qhuwarismi Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Pengurus Weststar Motorsport, Razali Ahmad akui terkejut dengan prestasi cemerlang Qhuwarismi Mohd Nasir dalam kategori Wira Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini dan berharap pelumba itu dapat meneruskan momentum tersebut pada pusingan keempat di Terengganu, minggu ini.

Meskipun kecewa setelah gagal menamatkan perlumbaan pusingan pembukaan di Temerloh, Pahang ketika sedang bersaing di kelompok hadapan, pelumba itu bangkit menebus kehampaan dengan menamatkan saingan pusingan berikutnya di Batu Kawan, Pulau Pinang di kedudukan keempat.

Qhuwarismi finished second in Muar
Qhuwarismi menaiki podium ditangga kedua di Muar

Prestasi pelumba itu bertambah baik apabila berjaya meraih gelaran naib juara serta bermula dari barisan hadapan pada pusingan ketiga di Muar, Johor yang merupakan podium pertamanya sejak beraksi dalam kategori ini pada tahun 2013.

Mengumpul 33 mata selepas tiga perlumbaan, Qhuwarismi kini menghuni tangga keempat keseluruhan, 37 mata di belakang pendahulu, Harith Farhan Baharin (Kozi Yam Honda Racing).

Malah Razali turut yakin jika prestasi serupa dikekalkan, pelumbanya itu berpeluang untuk mengejar gelaran Wira pada musim ini.

Qhuwarismi on the starting grid with Razali Ahmad right
Qhuwarismi di garisan permulaan bersama Razali (kanan)

“Memang saya agak terkejut dengan prestasi dan pencapaian Qhuwarismi setakat ini. Kami merupakan pasukan baharu pada musim ini, masih mencari keserasian mekanik dan juga persiapan jentera namun dia berjaya menunjukkan keputusan yang positif.

“Selalunya pasukan baharu memerlukan sedikit masa untuk nendapatkan keserasian dan aksi yang kompetitif namun dengan prestasi ketika ini, kami percaya dia mampu untuk merapatkan jurang dengan pendahulu selain dapat bersaing mengejar gelaran keseluruhan pada saingan separuh musim kedua nanti,” jelas Razali.

“Kami mempunyai keyakinan tinggi terhadap Qhuwarismi dan jangkakan dia mampu meneruskan aksi kompetitif seperti sebelum ini di Terengganu. Dia juga cukup bersemangat untuk merebut kemenangan. Mudah-mudahan dia sekali lagi dapat melakukannya dan pada masa sama dapat meningkatkan moral dan semangat seluruh pasukan,” tambahnya.

Qhuwarismi 12 during the Cub Prix race in Muar
Qhuwarismi (12) beraksi di Muar

 

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply