‘Respite Care’ Diperkenal Untuk Beri Perlindungan Sementara Kepada Warga Emas

JOHOR BAHARU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenal perkhidmatan ‘Respite Care’ bagi memberi perlindungan sementara kepada warga emas.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata perkhidmatan baharu itu merupakan alternatif kepada waris atau penjaga untuk menempatkan warga emas dalam jagaan bagi suatu tempoh tertentu disebabkan waris berdepan tuntutan tugas di luar kawasan atau luar negara.

“Respite Care sudah dimulakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras, Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa Semarak Sinar Ramadan di RSK Johor Baharu, malam ini.

Rohani berkata sebagai contoh, waris atau penjaga boleh menempatkan warga emas jagaan mereka di RSK Cheras ketika waris atau penjaga tersebut berhasrat menunaikan haji.

Beliau berkata terdapat beberapa syarat permohonan untuk mendapatkan perkhidmatan ‘Respite Care’ termasuk warga emas merupakan rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas, boleh mengurus diri sendiri, disahkan bebas penyakit atau virus serta disahkan tiada kecelaruan mental oleh pegawai perubatan.

Menurut Rohani, terdapat bayaran minimum dan berpatutan dikenakan kepada waris atau penjaga menerusi perkhidmatan terbabit, sebagai memupuk rasa tanggungjawab sekali gus supaya tidak membiarkan warga emas terus menetap di RSK Cheras.

Terdahulu, pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penghuni RSK Johor Baharu, Desa Bina Diri Mersing dan penerima bantuan JKM sekitar daerah ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM43,000. – BERNAMA

 

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.