23 Julai, Tarikh Keramat

PADA hari ini, 62 tahun yang lalu telah lahir seorang pemimpin negara yang disegani dunia iaitu Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak.

Najib merupakan putera sulung kepada Perdana Menteri Malaysia kedua iaitu Tun Hj Abdul Razak Dato’ Hussein bersama Toh Puan Rahah Mohammad Noah.

Beliau dilahirkan pada 23hb Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.

Najib mendapat pendidikan rendah dan menengah di Institusi St. John, Kuala Lumpur, dan kemudian belajar di Kolej Lelaki Malvern di Worchestershire, England.

Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Ekonomi Industri daripada Universiti Nottingham, England pada tahun 1974.

Najib mula menceburkan diri dalam arena politik setelah kematian mengejut bapanya, Tun Abdul Razak Hussein di London pada 14 Januari 1976.

Beliau menang tanpa bertanding merebut kerusi Parlimen Pekan yang kosong, akibat kematian bapanya, ketika berumur 23 tahun, dan merupakan ahli parlimen termuda yang pernah dipilih ketika itu.

Najib menjadi timbalan menteri paling muda apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada tahun 1978 ketika usianya 25 tahun.

Kemudian, pada tahun 1982 hingga 1986, beliau menjadi Menteri Besar paling muda dalam sejarah negara apabila dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berumur 29 tahun.

Hari ini, beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia (ke-6) bermula 3hb April 2009 selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan turut menyandang jawatan Menteri Kewangan I.

Di peringkat akar umbi politik, beliau merupakan Presiden UMNO yang ke-7.

birthday najib 2

Sepanjang 6 tahun pemerintahan beliau, pelbagai sumbangan yang signifikan dan terbukti telah beliau berikan kepada negara dan rakyatnya.

Antaranya adalah pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), lapangan terbang terbesar dunia yang mensasarkan golongan pertengahan dan rendah untuk pakej penerbangan tambang murah.

Menubuhkan Tun Razak Exchange yang merupakan sebuah bandar hub sistem kewangan tercanggih dunia yang akan menempatkan bangunan-bangunan tercanggih.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang merentasi Sarawak hingga Sabah tanpa mengenakan sebarang tol kepada pengguna lebuhraya ini.

Projek Greater KL, pembinaan MRT moden untuk kegunaaan warga kota mengelakkan kesesakan lebuhraya serta keretapi elektrik Padang Besar ke KL yang memendekkan masa perjalanan ke hanya 4 jam sahaja.

Membina Pusat Perkhidmatan Setempat (UTC) di seluruh negara bagi memudahkan urusan rakyat, pembinaan Terminal Bersepadu Selatan yang canggih dan selesa bagi memudahkan rakyat melakukan perjalanan dan jambatan ke-2 Pulau Pinang bagi mengurangkan kesesakan di jambatan pertama.

Semua ini dilakukan hanya dalam 6 tahun pertama pemerintahannya biarpun beliau dihujani dengan pelbagai tekanan, serangan dan fitnah dari dalam dan luar negara.

Banyak lagi jasa dan sumbangan yang telah beliau berikan dan boleh dibaca di 100 PENCAPAIAN BARISAN NASIONAL DIBAWAH DATO SERI NAJIB RAZAK.

Sekiranya beliau diberikan peluang dan mandat memerintah lebih lama dan berjaya mengatasi semua tohmahan terhadap beliau, beliau bakal menjadi antara Perdana Menteri paling hebat yang pernah dipunyai oleh negara kita.

Selamat menyambut hari kelahiran Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak. Semoga panjang umur, diberkati Ilahi, diberikan kekuatan dan iltizam menempuh rintangan dalam pentadbiran negara dan berbahagia disisi keluarga tercinta!

mbmHari ini juga, selain ulang tahun kelahiran Perdana Menteri Malaysia, ianya juga tarikh keramat bagi Majlis Belia Malaysia yang turut menyambut ulang tahunnya yang ke-67.

Majlis Belia Malaysia (MBM) merupakan badan induk yang menyelaras pertubuhan belia dan pelajar di Malaysia. Ia ditubuhkan pada 23 Julai 1948 di Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur dengan nama Majlis Belia Malaya.

Pada 23 Julai 1948, pertemuan seramai 75 orang wakil-wakil pertubuhan di Victoria Institution telah membuka laluan kepada penubuhan Majlis Belia Malaya.

Ekoran dari penubuhan Jawatankuasa Khas Sementara Belia ini, Perdana Menteri Ke-2 yang juga ayahanda kepada Perdana Menteri hari ini, Tun Abdul Razak Hussein dan Tuanku Ja’afar Ibni Tuanku Abdul Rahman (Yang Di Pertuan Agong ke 10) telah mewakili Tanah Melayu di Persidangan Perhimpunan Belia Sedunia (World Assembly of Youth – WAY) di Brunei.

Bermula dari itulah WAY telah mengiktiraf MBM (sementara) sebagai Jawatankuasa Kebangsaan baginya di Tanah Melayu.

Perwakilan belia yang bersidang pada Julai 1948 telah membincang dan berusaha menubuhkan Majlis Belia Negeri dan Settlements. Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Province Wellesly telah ditubuhkan pada 17 November 1948 dan merupakan Majlis Belia Negeri yang pertama di Tanah Melayu.

MBM telah diiktiraf secara rasmi pada 9 September 1950 di Pulau Pinang setelah perlembagaannya diterima pakai.

Mesyuarat Agung pertama telah diadakan dengan kehadiran badan-badan gabungannya iaitu Majlis Belia Negeri (Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang), Pertubuhan Budak Pengakap, Pandu Puteri (Malaya dan Singapura) dan Persaudaraan Belia Methodist Tanah Melayu. Mesyuarat telah menerima F.C Arulanandum sebagai Presiden (Pengerusi) MBM yang pertama.

Pada tahun 1951, kerajaan telah mengiktiraf Majlis Belia Malaysia sebagai Majlis Kebangsaan bagi pertubuhan belia negara ini.

mbm london
Dari kiri : Tuanku Ja’afar Ibni Tuanku Abdul Rahman (Yang Di Pertuan Agong ke 10, Tuanku Ahmad Shah (Sultan Pahang) dan Abdul Razak Hussain di London 1948

Pada peringkat awal penubuhannya, MBM tidak dapat bergerak cergas kerana kedudukan panitianya yang bertaburan, di samping masalah kewangan, pentadbiran dan tiadanya kakitangan yang tetap.

Di tahap awal ini MBM lebih cenderung berhubungan dengan WAY iaitu badan induknya dan seolah-olah kegiatan MBM ditentukan oleh WAY.

Tahap sebelum merdeka ini juga memperlihatkan MBM cuba meyakinkan pertubuhan-pertubuhan belia yang belum bergabung dengannya untuk turut serta.

Kerajaan British ketika itu juga dikatakan memberi galakan kepada gerakan belia di negara ini. Pertukaran Pesuruhjaya Tinggi, Malcolm McDonald ke India pada September 1955 memberi rahmat kepada MBM.

YTM Tunku Abdul Rahman Putra selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi Penaung menggantikan beliau.

Di bawah kepimpinan Tunku Abdul rahman, MBM telah diiktiraf sebagai pertubuhan koordinasi belia nasional maka MBM lebih memberikan perhatian kepada program-program nasionalnya, sedangkan sebelum ini kegiatan dengan WAY lebih diberikan penekanan.

Pergerakan MBM turut menerima pengaruh peranan dalam usaha memerdekakan negara dari kuasa penjajah.

Pada tahun 1960an, MBM mula pemperlihatkan keaktifan dan sikap pro-aktif serta lantang melaungkan isu-isu pembangunan negara dan dianggap sebagai “Pejuang suara belia dan rakyat”.

Majlis Belia Malaysia didaftarkan dibawah Akta Pertubuhan Bil R.R.M.65/68(8)P.P/SEL.16/68 pada 18 Jun 1968. Ia merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diktiraf sebagai Majlis Belia Kebangsaan dengan berdiri mewakili suara kepentingan belia negara.

MBM telah bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan telah diberikan slot bagi rancangan “Belia Bergerak Maju” di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Melalui program ini, pelbagai aktiviti ahli telah dihebahkan. MBM juga semakin aktif melibatkan diri dengan pertubuhan-pertubuhan belia di peringkat antarabangsa.

hari belia 70-an
Perasmian Perhimpunan Hari Belia oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ke-2

Tahun 1970-an memperlihatkan perubahan besar dalam MBM. Desakan agar pengiktirafan diberikan oleh pihak kerajaan kepada golongan belia telah menghasilkan penubuhan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) pada tahun 1971.

Penglibatan golongan pelajar dalam MBM juga telah membawa arus yang berlainan dan lebih lantang dalam menyuarakan hak rakyat dan peranan belia. Bahkan MBM sendiri hampir terkubur akibat percanggahan pendapat dan pembawaan pimpinan. Bagaimanapun krisis yang melanda pada tahun 1974/75 itu telah menjadikan MBM lebih matang dalam perjuangannya.

Walaupun terdapat badan-badan gabungan yang menarik diri dari bergabung dengan MBM, namun di akhir tahun 1970an, penyertaan dan penyatuan semula pertubuhan tertentu telah mengembalikan kekuatan dan reputasi MBM.

Tahun 1980an, kedudukan MBM kian mantap dan misi utama pergerakannya, “Belia Bertindak untuk Keadilan dan Kebenaran” telah mula dipraktikkan di dalam agenda perjuangannya. Cabaran besar dan pelbagai masalah seperti ekonomi dan pengganguran, masalah sosial (moral, akhlak, dadah dan budaya barat), salahguna kuasa dalam syarikat serta koperasi telah menuntut MBM lebih bertanggungjawab demi masa depan generasi belia negara.

MBM semakin giat dan aktif merealisasikan misi dan perjuangannya. Pelbagai seminar, bengkel dan program kerjasama telah dianjurkan sama ada dengan agensi kerajaan dan swasta dalam negeri mahupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di peringkat antarabangsa.

Pemilihan YB Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Presiden WAY di Perhimpunan Agung ke 13 Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) di Kuala Lumpur pada tahun 1993 dan kemudiannya pemilihan YB Fuad Dato’ Hj Hassan sebagai Setiausaha Agung Majlis Belia Asia (AYC) seterusnya Mustaffa Kamil Ayub sebagai Presiden Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CAYC) menandakan suatu pegiktirafan kepada perjuangan MBM di peringkat antarabangsa masa ini.

Era separuh pertama 1990-an memperlihatkan MBM memainkan peranan lebih agresif dan tidak hanya cuba menangani isu-isu tempatan tetapi juga menjurus kepada permasalahan dunia. Corak dan kemampuan kepimpinan belia menghadapi cabaran hebat dalam era globalisasi sesungguhnya telah menjamin kejayaan MBM mempertingkat martabatnya di mata dunia.

MBM sentiasa menerima dan menilai sesuatu cabaran dengan terliti bagi menjamin keseimbangan agenda perjuangan agar tidak terkeluar dari landasan nilai-nilai murni dan budaya yang boleh membantutkan arus pembangunan sebagaimana yang diharapkan oleh Wawasan 2020.

Hari ini, genap 67 tahun MBM berdiri kukuh di Malaysia mewakili suara belia harapan bangsa dan negara yang kini diterajui oleh Saudara Muammar Gaddafi Jamal.

Selamat menyambut ulang tahun ke-67 MBM. Moga terus kekal releven membawa wadah perjuangan belia dari peringkat akar umbi hingga peringkat tertinggi!

 

 

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

 

 

Leave a Reply