FIM ARRC: Norizman Sedia Gagalkan Hasrat Gupita Di Qatar

KUALA LUMPUR – Norizman Ismail akan berjuang habis-habisan bagi menggagalkan usaha Gupita Kresna untuk membawa pulang gelaran juara Underbone 130cc pada pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM yang akan berlangsung di Doha, Qatar, minggu ini.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu kini menghuni tangga kedua keseluruhan dengan 118 mata, 33 mata ketinggalan di belakang seteru utamanya dari pasukan Manual Tech KYT Rextor itu.

Norizman Ismail won the Underbone 130cc race
Norizman Ismail

Pelumba berusia 29 tahun itu perlu sekurang-kurangnya muncul naib juara dalam kedua-dua perlumbaan seandainya Gupita berjaya memenangi kedua-dua perlumbaan bagi meneruskan saingan ke pusingan terakhir di Thailand, Disember nanti.

“Kami kehilangan banyak mata berharga setelah gagal menamatkan Perlumbaan 1 di Thailand akibat masalah kotak gear. Mujurlah saya berjaya memenangi Perlumbaan 2 dan kembali merapatkan jurang perbezaan mata,” jelas Norizman.

Norizman celebrating his UB130 win in Thailand
Aksi Norizman rai kemenangan di Thailand

“Memang agak susah untuk merapatkan jurang mata dengan Gupita namun setidak-tidaknya saya yakin mampu melengahkan Gupita daripada memenangi gelaran di sini dan gelaran juara hanya akan ditentukan di Thailand nanti,” katanya menyentuh tentang perlumbaan malam di Litar Antarabangsa Losail.

“Dari segi persediaan mental dan fizikal, semua berada dalam keadaan terbaik, begitu juga dengan jentera. Pasukan kami perlu memberi tumpuan untuk menyediakan jentera dengan kuasa maksimum pada keadaan cuaca yang berbeza untuk pusingan kelayakan dan perlumbaan akhir, manakala saya sendiri pula perlu berusaha untuk menaiki podium dan menewaskan Gupita.

“Sudah lama rasanya pelumba Malaysia tidak membawa pulang gelaran Underbone 130cc ini. Kali terakhir ketika Affendi Rosli melakukannya pada tahun 2009. Saya berharap saya dapat melakukannya,” akhiri Norizman.

Norizman in action

Norizman leading the UB130 race in Thailand

Leave a Reply