Najib Gesa Penasihat Sains APEC Kongsi Kepakaran Tangani Jerebu

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa penasihat sains bagi negara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) berkongsi kepakaran dan cadangan untuk mengatasi jerebu bermusim yang menjejaskan negara di Asia Tenggara.

Beliau berkata Malaysia terjejas teruk akibat keadaan itu sejak 18 tahun lepas dan terdapat keperluan untuk mengemukakan penyelesaian yang lebih baik terhadap masalah itu.

“Saya harap penasihat sains ini boleh menasihati tentang bagaimana kita boleh menangani dan mengekang (penggunaan) teknik tebang-dan-bakar (dalam pertanian), bagaimana untuk mengelak kebakaran tanah gambut, sama ada ia disengajakan atau disebabkan perubahan iklim.

“Jadi, saya amat berminat untuk mengetahui dapatan dan nasihat anda,” kata Najib ketika merasmikan Mesyuarat Ketiga Ketua Penasihat Sains dan Setara Ekonomi APEC di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid dan Sir Peter Gluckman, yang juga Ketua Penasihat Sains kepada perdana menteri New Zealand.

Najib berkata nasihat dan cadangan mereka berkemungkinan dikemukakan dalam Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat APEC yang dijadual bulan depan untuk dibincangkan selanjutnya.

Ucaptama beliau pada mesyuarat dua hari itu membawa tema ‘Membina Asas bagi Nasihat Saintifik Ke arah Ekonomi Terangkum bagi Dunia yang Lebih Baik.’

Perdana menteri menegaskan bahawa banyak cabaran yang digariskan dalam abad ke-21 – paling ketara perubahan iklim, keselamatan makanan dan air, tenaga, pembasmian kemiskinan, dan kesihatan – mempunyai dimensi saintifik yang semakin rumit.

“Cabaran ini tidak boleh diselesaikan oleh sebuah negara sahaja,” katanya, dan menambah, diplomasi dan kerjasama sains merupakan alat penting agar persefahaman bersama dapat digalakkan manakala hubungan antarabangsa pula ditambah baik.

Najib menarik perhatian bahawa mana-mana negara pun akan memerlukan nasihat teknologi dan saintifik, dan ini lebih-lebih lagi semasa berlakunya krisis serta bencana. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.