Suhu Terlampau Sejuk, Saya Hampir Putus Asa – Shahrom

SEPANG – Kesukaran bernafas akibat cuaca sejuk melampau hampir membuatkan penjelajah negara Shahrom Abdullah menarik diri daripada meneruskan misi merentas Kutub Selatan.

Shahrom ketika mengimbas detik berkenaan berkata hanya ingatan kepada keluarga dan doa yang tidak henti-henti membuatkan dirinya kembali bersemangat untuk menempuh cabaran dan dugaan itu.

Shahrom, 36, berjaya menamatkan misi Ekspedisi Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) Rentas Kutub Selatan dalam tempoh 37 hari, lebih cepat daripada jangkaan awal selama 50 hingga 60 hari yang diletakkan.

shahrom4

Anak jati Felda Chiku, Gua Musang, Kelantan itu berkata keadaan ‘hampir putus nyawa’ terjadi pada enam hari terakhir ekspedisi ketika berada pada ketinggian 2,750 meter dengan cuaca mencecah di bawah 27 darjah celsius sehingga ke tahap menyalahkan diri sendiri kerana melakukan misi berkenaan.

“Saya menangis kerana memikirkan jika gagal meneruskan penjelajahan, saya pasti akan menyesal selamanya kerana menghampakan harapan seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi keluarga,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

“Pada masa itu, hanya doa dan ingatan kepada keluarga serta seluruh rakyat Malaysia membantu membakar semangat untuk saya kembali bangkit meneruskan penjelahan,” kata beliau.

Ketibaan Shahrom pada 6 petang dari Amsterdam, Belanda itu disambut ibunya Unaizah Mohd, anggota keluarga serta Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin.

Shahrom melakar sejarah menjadi anak Malaysia pertama melengkapkan misi dengan berski sejauh 890 kilometer merentas Kutub Selatan dari Messner Inlet pada 9 Dis dan tiba di titik sifar darjah Kutub Selatan kira-kira jam 4.30 petang waktu tempatan (3.30 pagi waktu Malaysia) pada 15 Jan lepas.

shahrom2

Katanya misi itu juga meninggalkan kesan luka di wajahnya apabila cuaca sejuk melampau membuatkan beliau terkena “frost bite” di muka, namun tidak sedar mengenainya hingga ditegur rakan sepasukan.

Menurut Shahrom jika tidak dikesan awal keadaan itu boleh menyebabkan ia merebak ke bahagian lain dan mungkin mendatangkan kemudaratan.

“Ekspedisi ini banyak mengajar saya tentang kesabaran, kerja berpasukan dan kepentingan mengetepikan rasa ego dan perkara remeh-temeh,” katanya.

Misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan 2015 itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada awal Julai 2015. – BERNAMA

shahrom3

Leave a Reply