ATM Adakan Rondaan Bersama PDRM, Tangani Ancaman Keganasan – Hishammuddin

KLUANG – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berusaha mempertingkatkan kawalan bagi menangani ancaman keganasan di negara ini termasuk melakukan rondaan bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata tugas menangani ancaman keganasan bukan perkara mudah dengan itu pihaknya sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mempertingkatkan kawalan keselamatan.

“Saya sudah nyatakan berkali-kali bahawa ancaman keganasan ini merupakan sesuatu yang serius.

“Serangan di Jakarta (Indonesia baru-baru ini) jadi iktibar kepada kita dan apa yang berlaku di negara luar mungkin akan berlaku di negara kita sekiranya kita tidak berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jiwa Murni Parlimen Sembrong di Felda Kahang Timur, di sini, hari ini.

KLUANG, 23 Jan -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor (lima,kanan) dan anggota Dewan Undangan Negeri Kahang R.Vidyananthan (empat,kanan) selepas pelancaran Projek Jiwa Murni-Pembesaran Parit Gajah di Felda Kahang Timur hari ini. Parit gajah dibina bagi menghalang gajah daripada memasuki kawasan pertanian yang diusahakan oleh penduduk kawasan Sembrong. --fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau mengulas cara ATM memantapkan kawalan dalam usaha kerajaan menangani ancaman pengganas khususnya serangan di bandar-bandar besar.

Hishammuddin turut berkata rondaan di Batu Caves, Selangor juga akan ditingkatkan bersempena perayaan Thaipusam supaya kehadiran polis dan tentera dapat memberi lebih keyakinan kepada orang ramai mengenai kawalan keselamatan pihak berkuasa kepada orang ramai.

Mengenai program Jiwa Murni iaitu projek pembesaran parit, beliau berkata ia dilakukan selepas mendengar keluhan peneroka tentang serangan gajah liar yang menjejaskan tanaman mereka.

Hishammuddin yang merupakan anggota Parlimen Sembrong, berkata kerja pembesaran parit itu melibatkan lima Felda iaitu Felda Kahang Timur, Felda Ulu Dengar, Felda Kahang Barat, Felda Ulu Belitong dan Felda Bukit Tongkat itu.

Projek pembesaran parit itu akan dilaksanakan mulai hari ini oleh anggota Markas 3 Divisyen dan Markas 7 Briged Infantri yang berpangkalan di sini, dan dijangka siap dalam tempoh empat bulan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.