Hishammuddin Harap Kemelut Politik Kedah Diselesai Secara Bijaksana, Rasional

KLUANG – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap kemelut politik yang melanda Kedah ketika ini dapat diselesaikan dengan semangat kekeluargaan, bijaksana dan rasional demi kelangsungan parti dan rakyat.

Menteri Pertahanan itu berkata sekiranya diselesaikan secara matang, apa jua kemelut yang berlaku di dalam UMNO negeri sudah tentu tidak akan membawa kesan yang teruk kepada parti dan rakyat.

“Saya tengok luahan dan pendirian kepimpinan bahagian-bahagian (UMNO) di Kedah banyak berkisar kepada pertimbangan mereka sendiri dan perkara itu juga sudah disampaikan kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

“Sehubungan itu, saya harap isu ini ditangani secara matang, bijaksana bersandarkan perkara-perkara yang ada kaitan rapat dengan hala tuju UMNO Kedah dan pentadbiran kerajaan Kedah itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jiwa Murni Parlimen Sembrong di Felda Kahang Timur, di sini, hari ini.

KLUANG, 23 Jan -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor (lima,kanan) dan anggota Dewan Undangan Negeri Kahang R.Vidyananthan (empat,kanan) selepas pelancaran Projek Jiwa Murni-Pembesaran Parit Gajah di Felda Kahang Timur hari ini. Parit gajah dibina bagi menghalang gajah daripada memasuki kawasan pertanian yang diusahakan oleh penduduk kawasan Sembrong. --fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Hishammuddin, krisis politik di Kedah bukan sesuatu perkara baharu di peringkat negeri-negeri malah parti juga pernah melalui pelbagai keadaan yang mencabar sebelum ini.

Semalam, kepimpinan UMNO Kedah mengadakan pertemuan dengan Najib susulan desakan mereka sebelum ini yang mahukan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berundur.

Dua hari sebelum itu (20 Jan), hampir seluruh kepimpinan UMNO Kedah termasuk 14 Ketua UMNO Bahagian menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.