Peneroka Felda Gedangsa Hampir Terjerat Skim Jutawan

KUALA KUBU BARU – Felda Gedangsa turut terkena tempias dan nyaris menerima nasib seperti bekas peneroka Felda Sungai Buaya apabila ada juga pemaju yang mahu membeli tanah peneroka dan menjanjikan wang tunai RM1 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Mansor Sariff, 65, berkata, perkara itu berlaku pada 1990-an apabila timbul idea daripada anak peneroka yang menawarkan diri untuk menjadi pemaju dan membeli tanah peneroka dengan sejumlah wang.

“Pemaju ketika itu beri tawaran untuk beli satu ekar tanah peneroka dengan harga RM110,000 dan untuk keseluruhan tanah yang peneroka ada, kami sepatutnya akan terima sejumlah wang RM1 juta.

“Pada masa itu, majoriti peneroka memang setuju menjual tanah dan mendapat pulangan wang RM 1 juta. Masa tu masing-masing pun terujalah dengan tawaran nak jadi jutawan segera tu. Sapa yang tak mahu duit RM1 juta. Saya sendiri pun masa tu antara yang bersetuju untuk jual tanah,” katanya kepada Sinar Harian.

gedangsa

Menurutnya, ketika itu ada tiga atau empat pemaju yang berminat untuk membeli tanah peneroka dan memberi pulangan wang tunai sebagai balasan.

“Bukan Gedangsa saja, Felda sekitar pun terlibat juga antaranya Felda Soeharto, Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan turut dijanjikan perkara yang sama.

“Namun demikian, ketika sesi perjumpaan dengan pihak pemaju, seorang anak peneroka ada minta jaminan daripada pemaju.

“Dia minta kalau betul nak bagi RM1 juta, perlu ada jaminan daripada pihak bank. Ketika itu, pemaju gagal lunaskan permintaan anak peneroka tu dan terselamatlah kami daripada jadi mangsa skim jutawan segera,” katanya.

Bagi Saadiah Kabri, 78, perkara itu masih lagi segar diingatannya ketika arwah suaminya bersungguh-sungguh untuk berikan tanah kepada pemaju.

“Saya antara golongan yang menentang untuk beri tanah kepada pemaju kerana pada saya nilai tanah itu lebih bernilai dari wang ringgit.

“Lagi pun masa tu tiada sebarang perjanjian atau hitam putih dokumen mengatakan kami akan terima wang tunai RM 1 juta itu,” katanya.

Dia turut menzahirkan rasa syukur kerana hingga kini geran tanah Feldanya masih selamat dalam simpanan tanpa diberi kepada pihak lain.

“Nasib baiklah peneroka sini tak jadi jutawan segera. Kalaulah tanah kami dah serahkan kepada pemaju, tak tahulah apa nasib kami.

“Bukannya kami tahu kalau pemaju tu nak tipu ke apa. Sekarang ni macam-macam boleh jadi,” katanya. Sinar Harian

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.