PLUS Beri Rebat Tol 30 Peratus Pada 4, 11 Dan 15 Feb Ini

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menawarkan rebat tol sebanyak 30 peratus kepada pengguna lebuh raya yang membayar tol secara elektronik untuk perjalanan melebihi 100 kilometer pada 4, 11 dan 15 Feb ini.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abd Hamid dalam satu kenyataan hari ini berkata tawaran itu diberikan bersempena sambutan Tahun Baru Cina untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya ELITE dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

“Rebat tol itu diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan dua gandar dan tiga atau empat roda kecuali teksi) yang bergerak untuk perjalanan jauh melebihi 100 kilometer dan membayar tol secara elektronik menerusi kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTAG,” katanya.

Beliau berkata pengguna lebuh raya perlu membuat bayaran tol seperti biasa pada 4, 11 dan 15 Feb dan rebat tol 30 peratus itu boleh ditebus dalam bentuk tambah nilai antara 15 Mac hingga 14 Jun akan datang di semua pusat khidmat pelanggan PLUS.

“Rebat tol ini boleh dinikmati sepanjang hari pada tarikh-tarikh yang telah disebutkan dan tidak terhad pada tempoh masa tertentu sahaja,” katanya.

Selain itu, PLUS menjangkakan aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak 20 peratus iaitu kira-kira 1.6 juta kenderaan sehari pada hari puncak iaitu 5, 6, 7, 9, 13 dan 14 Feb ini.

“Kami akan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal perjalanan dan membantu mereka mengelak daripada terperangkap di dalam kesesakan,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.