Suami Isteri Kerugian RM6,000 Rumah Dipecah Masuk

JEMPOL – Sepasang suami isteri kerugian kira-kira RM6,000 apabila rumah mereka di Felda Lui Barat, Ayer Hitam, di sini, dipecah masuk awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, pasangan berkenaan sedang tidur sebelum isterinya terjaga dan melihat seorang lelaki bersenjatakan parang berada di ruang tamu.

“Wanita itu terus menjerit menyebabkan suspek melarikan diri dan meninggalkan sepasang sarung tangan jenis berkait, satu parang dan sehelai kemeja-T berwarna kelabu.

“Siasatan awal mendapati suspek memasuki rumah mangsa dengan mengumpil pintu dapur. Suspek berjaya melarikan seutas rantai emas bernilai kira-kira RM4,000, satu telefon bimbit jenama Nokia, wang tunai RM1,300 dan kad pengenalan wanita itu yang kesemuanya berjumlah RM6,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Noorzainy berkata pasangan suami isteri itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan suspek dianggarkan berusia 20-an.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.