Harga Minyak Sawit Mentah Ditutup Tinggi

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif, meneruskan aliran kenaikannya untuk hari ketiga berturut-turut apabila ditutup tinggi hari ini berikutan peningkatan permintaan bagi komoditi berkenaan, kata peniaga.

Peniaga Produk Derivatif Phillip Futures Sdn Bhd, David Ng berkata peningkatan itu berlaku ketika wujudnya petanda bahawa pengeluaran bulan ke bulan komoditi itu akan merosot sebanyak dua angka pada bulan ini.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM2,400 satu tan dan rintangan segera pada RM2,550 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sewaktu ditutup, bulan semerta Februari 2016 menokok RM25 kepada RM2,412 satu tan, Mac 2016 dan April 2016 masing-masing meningkat RM28 kepada RM2,447 dan RM2,503 satu tan manakala Mei 2016 naik RM21 kepada RM2,498 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 62,044 lot daripada 44,679 lot semalam manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 263,039 kontrak daripada 246,045 kontrak, sebelum ini.

Di pasaran fizikal, Februari Selatan menokok RM20 kepada RM2,380 satu tan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.