Intipati Pengubahsuaian #Bajet2016: 11 Langkah Penstrukturan Dan Pengubahsuaian

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, hari ini telah membentangkang 11 langkah-langkah penstrukturan dan pengubahsuai Bajet 2016 bagi mengimbangi senario ekonomi negara pada hari ini.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan berada dalam fasa kegawatan ekonomi dengan langkah-langkah penstrukturan semula Bajet 2016 ini.

PUTRAJAYA, 19 Jan -- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap pada sidang media mengenai  kedudukan keselamatan negara di Seri Perdana, selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Selasa. --fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA ? PUTRAJAYA, Jan 19 -- Prime Minister, Datuk Seri Najib Tun Razak speaks in a  press conference regarding the status of national security at Seri Perdana, after chairing the National Security Council (MKN) meeting, Tuesday.  --fotoBERNAMA (2016) COPYRIGHT RESERVED

Berikut 11 langkah yang telah dibentangkan:

Langkah pertama: Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017. Walaubagaimanapun, caruman majikan dikekalkan. Langkah ini, dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit setahun.

Langkah kedua: Kerajaan akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak 2 ribu ringgit, kepada pembayar cukai individu berpendapatan 8 ribu ringgit sebulan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015. Dengan langkah ini, walaupun Kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak 350 juta ringgit, namun, ianya dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga 475 ringgit. Khabar gembira ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pembayar cukai.

Langkah ketiga: Bagi mengurangkan kos harga barang keperluan harian rakyat, Kerajaan akan melaksanakan antaranya, perkara-perkara berikut:

Satu: Kerajaan akan meliberalisasikan kawalan kuota import atau AP, bagi lapan produk pertanian terpilih untuk tempoh sementara bagi mempastikan bekalan yang konsisten. Antara produk pertanian termasuklah biji kopi mentah, daging kerbau, lembu dan kambing. Pada masa yang sama, syarat pematuhan kualiti dan keselamatan barangan import akan terus diutamakan.

Dua: FAMA akan membuka pasar belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet yang menjual barang makanan seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan, dengan menawarkan harga jualan 5 hingga 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran. Buat permulaan, ia akan dibuka di Presint 7, Putrajaya pada bulan Mac hadapan, dan akan diperluaskan ke 10 lokasi di pusat bandar lain seluruh negara pada tahun ini juga.

Tiga: Dalam mempastikan rakyat menikmati harga barangan yang berpatutan, saya telah mengarahkan KPDNKK untuk mengenalpasti lebih banyak kedai-kedai jualan harga berpatutan seperti, hypermarket asing dan tempatan. Jadinya, jumlah Kedai Harga Patut akan ditingkatkan daripada 640 buah, kepada seribu kedai kesemuanya pada tahun ini.

Empat: Dalam waktu yang sama, saya mahukan KPDNKK untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga-peniaga yang tidak beretika, serta mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang berlipat ganda atau profiteering.

Lima: Untuk terus membela untung nasib para pesawah, serta meningkatkan pengeluaran padi, Kerajaan menyediakan tambahan tunai sebanyak 50 ringgit bagi setiap 1 tan metrik padi bersih, sebagai insentif input pengeluaran padi. Pada masa yang sama, Kerajaan akan menambah baik pelaksanaan pemutuan sebenar padi melalui sistem penggredan standard; dan

Enam: Kerajaan amat prihatin, kepada golongan rakyat yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutamanya golongan miskin tegar. Makanya, program MyBeras diperkenalkan, di mana setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar, akan dibekalkan dengan 20 kilogram beras setiap bulan. Ini merupakan satu langkah, sehingga Disember 2016, untuk mengurangkan bebanan hidup keluarga miskin.

Langkah keempat: Berkuat kuasa serta merta ke atas projek perumahan baharu, Kerajaan akan menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga 300 ribu ringgit, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.

Kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan oleh JPN, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta sektor swasta. Lebih 100 ribu unit rumah akan ditawarkan dalam program ini.

Selain itu, bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga 35 ribu ringgit, sukacita saya mengumumkan, Kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat, bermula 1 Mac 2016, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4 peratus, dengan dana berjumlah 400 juta ringgit. Inisiatif ini akan memanfaatkan sejumlah lebih daripada 10 ribu pemilik rumah.

Langkah kelima: Selaras dengan apa yang saya umumkan pada Bajet 2016, sumbangan 30 peratus daripada levi HRDF yang berjumlah 200 juta ringgit, akan disediakan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran pekerja menerusi inisiatif reskill dan upskill, termasuklah pekerja yang telah diberhentikan.

Langkah keenam: Bagi meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil, perkara -perkara berikut akan dilaksanakan:

Satu: Kerajaan akan menggandakan usaha pematuhan dan pengauditan terhadap para pengelak cukai atau tax evaders.

Dua: Kerajaan bersetuju memberi pertimbangan khas dengan melonggarkan pengenaan penalti kepada pembayar cukai, bagi menggalakkan pembayar cukai tampil melaporkan pendapatan tahun ke belakang. Tunggakan cukai tersebut perlu dilangsaikan sebelum 31 Disember 2016.

Tiga: Untuk Pulau Bebas Cukai, bagi terus mengurangkan ketirisan yang mengakibatkan kehilangan hasil hampir 1 bilion ringgit, Kerajaan akan menstruktur semula saluran jualan rokok dan minuman keras, untuk dihadkan kepada Kedai-kedai Bebas Cukai yang dilesenkan oleh Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.

Empat: Pengecualian cukai kenderaan import di Pulau Bebas Cukai akan diperketatkan di pulau-pulau ini. Namun, langkah penstrukturan semula jualan rokok, minuman keras serta kenderaan ini, tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan pelancong di pulau bebas cukai ini.

Lima: Kerajaan akan mengoptimumkan pendapatan daripada spektrum telekomunikasi melalui pengagihan semula dan proses bidaan, yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat; dan

Enam: Bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi, Kerajaan akan membangunkan beberapa kawasan strategik milik Kerajaan, dengan melaksanakan proses bidaan.

Langkah ketujuh: Di atas inisiatif Timbalan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Asing, Kerajaan akan terus memperkemaskan sistem pengurusan pekerja asing, di mana kadar levi hanya akan diklusterkan kepada 2 kategori sahaja. Ini tidak termasuk kategori pembantu rumah asing.

Selain itu, Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau Rehiring Programme, untuk memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit kerja yang sah. Pelaksanaan program ini adalah bagi memenuhi permintaan industri serta membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah PATI di negara ini, bagi tujuan pemantauan keselamatan.

Langkah kelapan: Kerajaan akan lebih berhemat dalam perbelanjaan terutamanya bekalan dan perkhidmatan, meneruskan usaha merasionalisasi pemberian geran kepada Tabung Amanah Kerajaan, Badan Berkanun Persekutuan dan GLC, serta merasionalisasi dan menyusun semula entiti merangkumi Company Limited By Guarantee dan badan berkanun.

Langkah kesembilan: Bagi perbelanjaan pembangunan pula, fokus akan diberikan kepada projek dan program yang mendahulukan kepentingan rakyat, serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah.

Projek fizikal yang diutamakan adalah seperti pembinaan rumah mampu milik, hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam serta keselamatan. Pelaksanaan projek bukan fizikal dan projek yang masih di peringkat kajian akan dijadual semula. Langkah ini, dijangka melibatkan pengurangan komitmen aliran tunai sehingga 5 bilion ringgit serta tidak menjejaskan ekonomi dan rakyat.

Langkah kesepuluh: Institusi kewangan pembangunan atau DFI dan dana modal teroka atau VC milik Kerajaan, akan menambah dana pembiayaan mereka sebanyak 6 bilion ringgit, dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS dan syarikat permulaan atau startup companies.

Langkah kesebelas: Saya menyarankan pihak GLC, agar melaksanakan inisiatif bagi mengurangkan jurang pendapatan pengurusan atasan dan golongan pekerja, secara berperingkat. Malah, sektor swasta turut disaran melaksanakan perkara yang sama. Perkara ini akan dipantau oleh EPU.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.