Kawasan Cucian Bauksit Ditambah 15km Lagi

KUANTAN – Kawasan cucian kesan pencemaran bauksit di sekitar bandar ini ditambah sebanyak 15 kilometer (km) lagi, menjadikan keseluruhan jalan yang terlibat dalam operasi pembersihan itu sepanjang 60 km.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Wan Mohd Nazlis Wan Ismail berkata tambahan itu meliputi jalan di Bukit Goh, yang terjejas akibat proses melombong bauksit di situ.

“Operasi membersihkan juga kini dibahagi kepada dua pasukan. Pasukan pertama melakukan kerja-kerja di Bukit Goh yang baharu dimasukkan ke dalam senarai pembersihan.

Manakala pasukan kedua meneruskan kerja mencuci mengikut jadual dan kini mereka sudah berada di simpang Pelabuhan Kuantan,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini.

Wan Nazlis berkata setakat ini, 70 peratus kerja mencuci selesai dilakukan, bermula dari Jalan Taman Kampung Padang 2, berhampiran simpang masuk Felda Bukit Goh di sini sehingga jalan ke arah pelabuhan.

Beliau yakin kerja pembersihan dapat diselesaikan sebelum tarikh yang ditetapkan iaitu 14 Feb ini.

Operasi pembersihan itu dimulakan selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 Jan lepas, selepas mengambil maklum keluhan penduduk di Kuantan yang terjejas dengan aktiviti perlombongan bauksit.

Selain jabatan bomba, turut terlibat dalam operasi itu ialah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Alam Flora Sdn Bhd dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.