MPOC Unjur Harga MSM Akan Terus Meningkat Tahun Ini

PETALING JAYA – Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengunjurkan aliran harga meningkat minyak sawit mentah (MSM) akan berterusan tahun ini berikutan jangkaan pengeluaran yang lebih rendah, yang akan memberi kesan kepada bekalan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Yusof Basiron berkata harga MSM dijangkakan secara purata pada RM2,590 setan, dan tidak mungkin jatuh kurang daripada RM2,000.

“Harga MSM diniagakan pada purata RM2,172 setan metrik pada 2015, susut kurang daripada RM2,000 setan kepada serendah RM1,975 pada Ogos 2015.

“Bagaimanapun harga pulih sejak itu dan melepasi RM2,400 setan pada akhir Disember 2015,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Tinjauan Strategik 2016 kali ke-18 bertemakan ‘Menghadapi Ketidakpastian – Menangani Ketdaktentuan Semasa Waktu Sukar’ di sini Selasa.

Yusof merupakan antara ahli panel pada majlis anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia itu.

Di peringkat makro, Yusof berkata pengeluaran minyak sawit global dijangkakan lebih rendah berbanding unjuran awal disebabkan fenomena El Nino yang memberi kesan ke atas pengeluaran.

Bagi mengurangkan bekalan, Malaysia menjalankan program penanaman semula utama yang akan terus mengurangkan pengeluaran sebanyak 300,000 tan, katanya.

“Pada 2015, pengeluaran minyak sawit negara mencecah 19.96 juta tan, dan pada 2016, bekalan diunjur mencecah 20.1 juta tan,” katanya.

Yusof berkata Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar dunia, akan meningkatkan mandat biodieselnya kepada campuran 20 peratus, yang akan mewujudkan ketidaktentuan dalam bekalan, dan menghalang harga daripada jatuh.

“Pada 2015, pengeluaran minyak sawit negara mencapai 19.96 juta tan, dan pada 2016, angkanya dijangka mencecah 20.1 juta tan metrik,” katanya.

Bagi Malaysia, menerusi pelaksanaan penuh campuran tujuh peratus pada 2015, pengeluaran biodiesel dianggarkan mencecah 0.53 juta tan metrik, meningkat daripada 359 juta liter pada 2014.

Yusof berkata campuran 10 peratus itu dijadual diperkenalkan pada 1 Okt 2015, namun ditangguhkan dan campuran baharu ini jika berjaya dilaksanakan, boleh merangsang pengeluaran kepada 0.7 juta tan metrik pada 2016 – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.