Penjelajah Negara Dijangka Pulang Ke Tanah Kelahiran, FELDA Chiku 2 Tengahari Ini

KUALA LUMPUR – Penjelajah negara, Shahrom Abdullah, 37, yang baru sahaja mengharumkan nama negara dengan menamatkan ekspedisi beliau merentasi Kutub Selatan dijangka akan pulang ke tanah kelahirannya di FELDA Chiku 2, Gua Musang, Kelantan, tengahari ini.

Wira sukan lasak negara yang juga merupakan penjelajah solo merentas Kutub Selatan menerusi Ekspedisi KE7B yang baru sahaja berjaya menamatkan ekspedisi beliau pada pertengahan January lepas dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada jam 12.25 tengahari, hari ini.

Shahrom berjaya menamatkan misi Ekspedisi Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) Rentas Kutub Selatan dalam tempoh 37 hari, lebih cepat daripada jangkaan awal selama 50 hingga 60 hari yang diletakkan.

shahrom

Cabaran yang paling sukar buat beliau adalah pada enam hari terakhir bagi menamatkan misi tersebut apabila kesukaran bernafas akibat cuaca sejuk melampau hampir membuatkan beliau menarik diri daripada meneruskan misi merentas Kutub Selatan itu.

Antara yang tidak dapat dilupakan beliau adalah keadaan ‘hampir putus nyawa’ terjadi pada enam hari terakhir ekspedisi ketika berada pada ketinggian 2,750 meter dengan cuaca mencecah di bawah 27 darjah celsius sehingga ke tahap menyalahkan diri sendiri kerana melakukan misi berkenaan.

Namun semangat kental anak jati FELDA Chiku 2 ini akhirnya melakar sejarah menjadi anak Malaysia pertama melengkapkan misi dengan berski sejauh 890 kilometer merentas Kutub Selatan dari Messner Inlet pada 9 Dis dan tiba di titik sifar darjah Kutub Selatan kira-kira jam 4.30 petang waktu tempatan (3.30 pagi waktu Malaysia) pada 15 Jan lepas.

Hari ini, beliau akan menjejakkan kakinya di tanah kelahirannya dan kepada sesiapa yang berkelapangan boleh datang beramai-ramai ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada jam 12.25 tengahari ini bagi sama-sama memeriahkan dan mengiringi ketibaan beliau.

Manakala pada 31 Januari, Ahad (esok), satu sambutan akan diadakan di Balai Raya FELDA Chiku 2 pada jam 11.00 pagi dan dijangka tamat jam 2.00 petang.

Kepada yang berkelapangan dan  berhampiran adalah dijemput hadir untuk memeriahkan majlis.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.