Program Biodiesel B10 Akan Menyumbang Lebih Besar Kepada KDNK

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program biodiesel B10 menggunakan minyak sawit mentah (MSM) menjelang April tahun ini, dijangka meningkatkan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi negara, kata Timbalan Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia, U.R Unnithan.

Menerusi penggunaan biodiesel sawit dalam program B10 iaitu melibatkan 1.2 juta tan setahun, ia dijangkakan dapat membantu mengurangkan stok minyak sawit sebanyak 600,000 tan setahun selain meningkatkan harga MSM kepada kira-kira RM680 setan, katanya.

“Potensi impak ke atas keluaran dalam negara kasar (KDNK) oleh B10 sebanyak RM13.6 bilion ke atas akaun harga MSM sahaja,” katanya dan menambah ini membabitkan kira-kira 25 peratus lebih tinggi berbanding impak ke atas program B7 semasa.

“Kami merasakan program B10 merupakan tindakan yang tepat ke arah meningkatkan sumbangannya kepada KDNK Malaysia,” katanya pada sidang media mengenai program pelaksanaan biodiesel di Malaysia, di sini hari ini.

Ditanya sama ada program B10 akan membantu kerajaan merealisasikan sasaran KDNK 2016 yang disemak semula kepada 4.0 peratus hingga 4.5 peratus, Unnithan berkata “Ini sudah pasti. Ia akan menyumbang (kepada unjuran KDNK) sudah pasti sektor minyak sawit sangat penting kepada Malaysia memandangkan negara ini mengeluarkan 20 juta tan minyak sawit setahun, dan harganya memberi impak ketara ke atas KDNK,” katanya.

Kerajaan sebelum ini merancang melaksanakan program biodiesel B10 pada Oktober tahun lepas. Bagaimanapun Unnithan yakin ia boleh dilaksanakan pada April tahun ini memandangkan langkah itu sudah dipersetujui oleh kesemua pemegang kepentingan.

Mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), beliau menyifatkan penyertaan Malaysia dalam pakatan perdagangan itu sebagai langkah yang sangat baik memandangkan ia akan menyediakan akses pasaran yang lebih besar kepada negara.

“Ia memberi kelebihan besar kepada kita memandangkan ia membabitkan perjanjian kerajaan dengan kerajaan yang akan menangani isu tarif dan halangan bukan tarif,” katanya.

Unnithan menolak andaian bahawa penyertaan Malaysia dalam TPPA akan membolehkan syarikat asing mengeksport bidodiesel mereka ke negara ini.

“Program B5, B7 dan B10 khusus untuk penggunaan biodiesel Malaysia… import biodiesel asing untuk penggunaan program mandat tempatan tidak dibenarkan,” katanya.

Namun beliau tidak menolak bahawa persaingan akan belaku jika syarikat asing membuka loji biodiesel mereka sendiri dalam negara. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.