Program MyBeras Rahmat Kepada Golongan Miskin Tegar

KUALA LUMPUR – Penerima bantuan di bawah E-kasih serta golongan miskin tegar menyifatkan program MyBeras iaitu pemberian bantuan 20 kilogram beras kepada golongan itu setiap bulan sebagai rahmat kepada mereka.

Rata-rata peserta E-kasih yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan bantuan seperti itu sudah tentu dapat meringankan beban hidup mereka.

Ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 di Pusat Konvensyen Putrajaya semalam, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelaksanaan program MyBeras sehingga Disember 2016 bertujuan mengurangkan beban hidup keluarga miskin susulan kenaikan kos sara hidup.

Program ini dijangka bermula 1 Mac dan akan memberi keutamaan kepada mereka yang berdepan masalah punca pendapatan dan ekonomi keluarga terjejas akibat kejatuhan harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit.

Di KOTA KINABALU, Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata Program MyBeras merupakan langkah bijak kerajaan untuk membendung ketirisan subsidi kerajaan.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan pernah melaksanakan program beras subsidi namun ada pihak menyalahgunakannya sehingga subsidi berkenaan jatuh ke tangan pihak yang tidak berhak menerimanya.

“Ini saya rasakan merupakan satu tindakan cukup bijak di mana kewangan negara tidak akan dibazirkan dan tidak berlaku ketirisan, sebaliknya ia terus langsung memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara MyAngkasa Services Sdn Bhd (MSSB) dengan Koperasi Ling Jaya (Sabah) Sdn Bhd (KLJ) di sini hari ini.

Di KUCHING, Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak Datuk Nelson Balang Rining berkata projek MyBeras membuktikan bahawa Kerajaan Barisan Nasional sememangnya prihatin terhadap kebajikan rakyat dan ingin membantu meringankan kesusahan golongan yang memerlukan.

Dalam satu kenyataan, Balang yang juga pengerusi SPDP Bakekalan, bagaimanapun berpendapat terdapat keperluan bagi merancang cara untuk menyampaikan beras percuma kepada mereka yang tinggal jauh dari bandar dan pekan.

Beliau berkata banyak halangan geografi dan logistik yang perlu diambil kira untuk memastikan penghantaran yang cepat kepada kumpulan sasar.

Di TAWAU, seorang wanita, Ho Yong Kyau, 58, dari Kg. Ria, Bal, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Merotai, berkata dia amat gembira dan mengucapkan terima kasih atas keperihatinan kerajaan.

“Kami orang susah. Dengan adanya bantuan itu, lepaslah sebahagian kesusahan yang kami hadapi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Yusuf Ali, 53, dan Fatimah Usman, 47, dari Kuala Merotai sependapat dengan Ho dan turut melahirkan kesyukuran kepada Allah atas kemurahan kerajaan memberi bantuan beras kepada mereka.

Di KUANTAN, program Myberas mendapat reaksi gembira di kalangan rakyat di Pahang yang berpendapat ia perlu diteruskan walaupun keadaan ekonomi negara kembali stabil selepas ini.

Pegawai Pusat Kutipan Zakat Pahang Che Shamsol Ibrahim berkata beliau yakin keprihatinan kerajaan memberi bantuan tersebut kepada golongan miskin tegar sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan bulanan mereka.

“Saya rasa pemberian 20 kilogram beras setiap bulan kepada golongan yang mampu pun sesuatu yang menggembirakan apatah lagi kepada mereka yang dihidup dalam serba kekurangan,” katanya.

Di TEMERLOH, seorang ketua keluarga Mohd Simen Yaakob, 45, dari Kampung Teluk Sentang berkata pengumuman perdana menteri itu jelas menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat kerajaan.

“Harga beras sekarang RM2.20 sekilogram bergantung kepada gred dan dengan adanya bantuan tersebut dapatlah duit yang digunakan untuk membeli beras sebelum ini digunakan untuk membeli barangan keperluan lain seperti keperluan sekolah anak-anak,” katanya.

Batin Orang Asli Kampung Paya Pelong Kerdau, Mokhtar Mohamad pula berkata, masyarakat Orang Asli bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan beras percuma itu.

“Beras (nasi) adalah makanan asasi dan utama kepada rakyat di negara ini, apabila diberikan secara percuma, sudah tentu kita sangat gembira dan sambut baik pemberiannya …dapatlah ia ringankan beban kami,” katanya.

Di JOHOR BAHARU, tinjauan Bernama di sekitar bandar raya hari ini mendapati rata-rata orang ramai positif dengan program yang diumumkan itu.

Seorang juruwang di kedai serbaneka yang mahu dikenali sebagai Baiedah berkata program MyBeras ini dapat membantu sedikit sebanyak golongan miskin tegar dalam perbelanjaan seharian mereka.

“Bagi golongan ini, duit untuk beli beras itu bolehlah digunakan untuk perkara lain. Tidak payah fikir nak beli beras dah. Duit tu boleh lah buat belanja beli lauk, belanja anak sekolah dan lain-lain perkara,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Elsie Jemat, 27, pula berkata bantuan seperti itu sangat dialu-alukan memandangkan golongan miskin tegar ini antara yang terjejas teruk akibat kenaikan kos sara hidup.

“Mereka patut dapat bantuan beras 20 kilogram sebulan. Tindakan itu adalah sangat bagus dan harus diteruskan bukan sahaja untuk tahun ini, malah untuk tahun yang akan datang,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.