Bantuan Pekebun Kecil Sawit Antara Agenda Mesyuarat CPOPC Di Jakarta

MUAR – Usaha bagi membantu kalangan pekebun kecil sawit adalah antara agenda yang bakal dibincangkan pada mesyuarat Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang dijadualkan di Jakarta, pada 4 Feb ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata ini penting bagi memastikan kebajikan serta pendapatan pekebun kecil sawit tempatan tidak terabai dalam persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu.

“Usaha ini tidak pernah terhenti sejak dahulu lagi kerana kerajaan sentiasa peka dengan kebajikan pekebun kecil.

“Malah, jika pendapatan dan kebajikan pekebun terjaga, ia akan turut memberi faedah kepada negara serta Felda,” katanya.

razali-ibrahim

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan beg sekolah kepada 200 pelajar sekitar Muar serta merasmikan Program Bantuan Beg Sekolah Transformasi Bumiputera (BEST) 2016, di sini.

Razali yang bertanggungjawab menjaga portfolio Felda berkata, beliau dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan mewakili kerajaan Malaysia dalam perbincangan di ibu negara Indonesia berkenaan.

Malaysia dan Indonesia yang juga pengeksport utama minyak sawit dunia, bersepakat menubuhkan CPOPC pada tahun lepas bagi menggalakkan, membangun dan mengukuhkan kerjasama dalam industri sawit di kalangan negara anggota. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.