Mentaliti Kelas Pertama Untuk Capai Bandar Raya Bertaraf Dunia – Datuk Bandar

KUALA LUMPUR – Mentaliti ‘kelas pertama’ perlu ada dalam setiap jiwa warga kota untuk merealisasikan sebuah bandar raya bertaraf dunia.

Namun yang menjadi persoalan adakah Kuala Lumpur sudah bersedia untuk mencapai sasaran status bandar raya bertaraf dunia menjelang tahun 2020?

Bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-12 yang akan disambut Isnin, wartawan Bernama menemu bual Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz untuk berkongsi harapan dan keazamannya dalam memastikan ibu negara terus unggul dan bertaraf dunia.

Menurut Mhd Amin, sebuah bandar raya yang berdaya maju dan bertaraf dunia bukan sahaja tertumpu kepada kerancakan pembangunan dan kelestarian yang ada pada bandar itu, tetapi mentaliti penduduk juga memainkan peranan penting.

Beliau berkata mentaliti yang dimaksudkan itu adalah mentaliti ‘kelas pertama’ iaitu warga kota mempunyai tanggungjawab sivik yang tinggi dan patuh dengan segala peraturan yang ada.

KUALA LUMPUR, 27 Julai -- Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz ketika sidang media sempena Upacara Tabik Hormat Menyambut Datuk Bandar Kuala Lumpur Ke-11 di Menara DBKL hari ini.  Beliau dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 18 Julai lepas bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Phesal Talib. --fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Biarpun sesebuah bandar itu sedang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit giat dibangunkan, tetapi jika tanggungjawab sivik dan disiplin adalah lemah, maka bandar itu tidak dapat maju.

“Jika mereka (warga kota) akur dengan setiap peraturan lalu lintas, peraturan perniagaan, peraturan kebersihan, kita akan melihat negara kita ini setanding dengan negara maju seperti Tokyo dan Australia,” jelas Mhd Amin.

Menurutnya apalah gunanya jika Kuala Lumpur berjaya mencapai status bandar raya bertaraf dunia tetapi mentaliti penduduk masih tidak maju, sedangkan perkara itu datang seiring bersama kemajuan yang dikecapi.

Beliau menjelaskan rekod Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mencatat lebih 1 juta saman trafik dikeluarkan setiap tahun yang meliputi kesalahan lalu lintas dan peraturan letak kenderaan sekali gus menunjukkan nilai sivik penduduk masih ditahap yang perlu diperbaiki.

“Saya nak jadikan Kuala Lumpur ini bandar yang berdaya maju, bersih, indah, kemas dan ceria malah mentaliti penduduk juga pun kena seiring dengan negara maju yang lain,” katanya.

Dalam langkah mencorak mentaliti penduduk kota, pihak DBKL tidak akan lagi berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Malah, Mhd Amin berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang ingkar dengan arahan itu lebih-lebih lagi apabila memberi tekanan dan membebankan warga kota yang lain.

Tambah beliau, dalam menyemarakkan lagi semngat perpaduan antara kaum dalam kalangan warga kota, sambutan Hari Wilayah Persekutuan kali ini juga memperlihatkan lebih 10 program dianjurkan oleh pihak DBKL.

Menurutnya, kesemua program yang diatur berkait dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ dalam membangkitkan semangat kebersamaan dan perasaan sayang kepada Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Datuk Bandar juga berkesempatan untuk berkongsi dengan Bernama kedudukan Kuala Lumpur sepanjang tahun 2015 di mata dunia dari aspek pembangunan bandar yang boleh dibanggakan.

Antaranya, Kuala Lumpur di tangga ke-18 dunia seperti dilaporkan World Bank Group dalam ‘Feasibility of Doing Business 2015’ yang meningkat 2 anak tangga dari tahun 2014.

Seterusnya, dalam aspek ‘Dealing with Construction Permits’, Kuala Lumpur berada di tangga ke-12 berbanding kedudukan 28 pada tahun 2013. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.