Pembangunan KL Ubah Nasib Peniaga

KUALA LUMPUR – Bermula sebagai tapak perlombongan bijih timah di kawasan kuala sungai yang menjadi pertemuan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak, Kuala Lumpur yang berkeluasan 242 kilometer persegi, kini pesat membangun sebagai pusat perdagangan negara.

Sehingga kini, ibu negara Malaysia terus menempa nama di mata dunia, malahan menjadi bandar raya pilihan ekspatriat dan masyarakat tempatan untuk mencari peluang perniagaan.

Bagi Kamaruddin Permin, 64, pemilik Kedai Sate Warisan yang telah berniaga di ibu kota lebih 40 tahun, berkata evolusi Kuala Lumpur bukan sahaja sekadar perubahan fizikal, ia juga memberi kesan yang positif terhadap peniaga tempatan yang pernah berniaga sejak awal penubuhan wilayah itu.

Kamaruddin berkata perniagaan sate yang diusahakannya daripada sebuah basikal sehingga berjaya membuka dua buah kedai di Medan Selera Kampung Baru dan Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah antara kesan tersirat yang melibatkan pembangunan sebuah bandar yang semakin maju.

“Dahulu berniaga memang betul-betul susah, pelanggan tak ramai, akses jalan pada masa dulu ibarat kena masuk hutan…orang dulu pun bukannya senang,” katanya kepada Bernama.

Mengimbau kembali era 70-an, Kamaruddin berkata beliau terpaksa mengayuh basikal dan meredah hutan dari Kampung Baru ke Puchong, perjalanan lebih 30 kilometer, semata-semata untuk menjual sate kepada pekerja lombong bijih timah.

Katanya, menerusi pencapaian ekonomi yang stabil di Kuala Lumpur dengan populasi yang kian meningkat dari tahun ke tahun perkara itu telah membuka ruang kepada peniaga untuk mengubah nasib mereka seperti mana yang berlaku kepadanya.

Sementara itu, Abdul Rahman Samad, 58, yang berasal dari Perak turut berkongsi pengalamannya yang sudah 17 tahun berniaga kuih-muih di gerai berhadapan pasar basah, Pasar Chow Kit, di sini.

“Mula-mula dulu, saya datang sini pun sebab nak temankan anak sulung yang baru sahaja habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk cari kerja di sini. Kami datang sini dulu tak rancang pun.

“Saya saja mohon gerai untuk berniaga, kebetulan pula rezeki menyebelahi kami, dapatlah satu gerai di Pasar Chow Kit ni…,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Abdul Rahman yang sebelum itu bekerja sebagai pemandu lori berkata beliau sekeluarga terus membuat keputusan menetap di sini, setelah permohonan untuk menjalankan perniagaan diluluskan.

Abdul Rahman melahirkan rasa syukur apabila perniagaan yang dibantu isterinya, Zalina Hussain, 58, kian berkembang dan turut diminati pengunjung asing.

“Sehinggakan pada bulan Ramadan dan Syawal, permintaan terhadap kuih peneram dan ketupat daun palas meningkat hingga puluhan ribu,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.