Peruntukan RM1.7 Juta Pulih Kawasan Bekas Banjir Sepanjang Sungai Kelantan

KOTA BAHARU – Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia memperuntukkan RM1.7 juta bagi pemulihan kawasan sepanjang Sungai Kelantan, yang yang dilanda banjir besar 2014.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Dr Abdul Rahman Abdul Rahim berkata peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan RM100 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di bawah program restorasi kawasan terosot.

“Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan akan mengenal pasti kawasan yang terlibat meliputi keadaan permukaan bumi yang terjejas sama ada bercerun atau tanah rata sebelum menentukan jenis pokok yang sesuai ditanam di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis memperbaharui ikrar Perkhidmatan Awam Tahun 2016 dan Amanat Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang turut dihadiri Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan Zahari Ibrahim di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan empat unit pesawat tanpa pemandu (UAV) kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan yang akan digunakan di jajahan Gua Musang, Machang dan Tanah Merah.

Abdul Rahman berkata sebanyak 1.1 juta anak pokok hutan termasuk daripada jenis meranti dijangka akan ditanam di sepanjang sungai Kelantan menjelang pertengahan tahun ini selepas proses penyemaian benih bermula Mac ini.

“Kami jangkakan langkah penanaman semula pokok ini akan membantu mengekang hakisan di tebing sungai yang turut memberi kesan kepada kehidupan di kawasan tersebut,” katanya.

Mengenai UAV, beliau berkata jabatan itu akan menggunakan alat tersebut bagi memantau aktiviti pencerobohan hutan dengan lebih berkesan.

“Kami harap alat ini dapat digunakan di seluruh Semenanjung memandangkan ia lebih efektif untuk memantau pencerobohan, menjimatkan kos dan tenaga kakitangan. Kami juga mampu bertindak dengan lebih pantas,” katanya.

Abdul Rahman juga berkata jabatan itu akan terus memperkasakan pelaksanaan Amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan di lapangan dengan lebih menekankan kepada pendekatan ‘Hutan Bukan Untuk Pengeluaran Kayu-Kayan Semata-Mata’. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.