200 Sekolah Dapat Manfaat Dari ‘CCM Interschool Showdown’

TAPAH – Lebih 200 sekolah menengah seluruh negara mendapat manfaat daripada penganjuran ‘CCM Inter-school Showdown’ sejak lima tahun lalu, kata Pengarah Urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia (CCM) Bhd Leonard Ariff Abdul Shatar.

Beliau berkata program itu bertujuan memberi pendedahan mengenai pendidikan awal pelaburan dan perancangan kewangan kepada masyarakat serta pelajar khususnya selain pengetahuan terhadap bidang farmaseutikal dan kimia.

Katanya menerusi program tersebut, peserta berpeluang menambah pengetahuan dan menghayati konsep 1Malaysia di samping memperoleh maklumat mengenai perkembangan semasa dunia pelaburan serta ekonomi melalui kuiz pengetahuan am yang dijalankan.

“CCM Bhd merasakan program ini sangat bermanfaat dan perlu diteruskan setiap tahun khususnya bersempena program Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM).

“Program ini juga secara tidak langsung memupuk sikap bekerjasama secara berkumpulan serta membina keyakinan diri semasa menjawab soalan yang dikemukakan,” katanya ketika berucap pada pertandingan akhir dan majlis penyampaian hadiah MSAM 2016 CCM Inters-chool Showdown di sini Isnin.

Leonard Ariff berkata permainan ‘Trading Game’ menyerupai keadaan pasaran saham diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai pengetahuan simpanan wang, pelaburan dan perancangan kewangan.

Sebanyak 10 pasukan berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan tersebut yang dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Besout, Sungkai sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000.

SMK Trolak menduduki tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM1,500 manakala Kolej Vokasional Slim River merangkul tempat ketiga serta membawa pulang wang tunai RM1,000.

MSAM 2016 yang berlangsung sejak Rabu di Stadium Tun Ahmad Sarji dibuka kepada orang ramai mulai 10 pagi hingga 10 malam kecuali Khamis depan yang tamat pada 2 petang.

Program tahunan anjuran PNB itu merupakan program pendidikan pelaburan bertemakan ‘Pelaburan 360 PNB’ dan sejak dianjurkan pada 2000, MSAM telah menarik lebih tiga juta pengunjung. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.