3000 Penduduk Felda Koyan Dapat Masjid Baharu Menjelang Ramadhan

LIPIS 2 Jun – Ramadan kali ini cukup bermakna kepada seramai 3,000 penduduk Felda Sungai Koyan Satu, Felda Sungai Koyan Dua dan Felda Sungai Koyan Tiga, Jelai di sini apabila berpeluang menunaikan solat Jumaat, tarawih dan ibadat lain di sebuah masjid baharu.

Masjid Al-Muhajirin, Sungai Koyan dekat sini siap dinaik taraf oleh kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM4.2 juta.

Majlis penyerahan replika kunci masjid itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran nege­ri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Imam Masjid ber­kenaan, Mat Non Osman.

Yang hadir sama ialah Pe­ngarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Abdul Jalil Mohamed dan Jurutera JKR Lipis, Ir. Zakaria Semail.

Menurut Wan Rosdy, premis baharu yang dinaik taraf itu bagi menggantikan masjid asal yang dibina sejak 1970-an ketika Gugusan Felda Sungai Koyan dibuka dan menempatkan peneroka.

“Walaupun sedikit kelewatan menyiapkan masjid ini disebabkan masalah tertentu, tetapi saya dan penduduk di sini bersyukur kerana projek ini sudah direali­sasikan sekali gus memberi peluang ahli kariah mengerjakan solat Jumaat dan solat tarawih di masjid itu nanti,” katanya kepada pemberita di Sungai Koyan, dekat sini semalam.

Menurut beliau, Masjid Al-Muhajirin menjadi mercu tanda pekan Sungai Koyan yang merupakan lokasi transit bagi kende­raan yang berulang alik dari Lembah Kelang, Kuantan ke Cameron Highlands dan Kelantan.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, berkata, masjid baharu itu mempunyai ruang solat yang lebih luas termasuk kemudahan lain menjadi pusat kegiatan dakwah Islamiah sekali gus menyatukan penduduk setempat termasuk Orang Asli Islam di pos berdekatan.

Sementara itu, Mat Non berkata, ahli kariah di Gugusan Felda Sungai Koyan bersyukur kerana masjid itu siap dan dibuka untuk beribadat pada awal Ramadan ini.

Tambahnya, ketika masjid itu dalam proses selenggaraan dinaiktaraf sebelum ini, penduduk kawasan Sungai Koyan menggunakan dewan orang ramai dan surau di Felda masing-masing untuk menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat.-UTUSAN

Leave a Reply