ARRC: Kelahiran Bayi Lelaki Bakar Semangat Decha Raih Kemenangan

SUZUKA – Kelahiran bayi lelaki menjadi pembakar semangat kepada Decha Kraisart untuk meraih kemenangan dalam saingan SuperSports 600cc pada pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun, semalam.

Bekas juara SuperSports 600cc itu yang membuat kemunculan semula di dalam kancah ARRC bersama pasukan Yamaha Thailand Racing Team menerima kelahiran bayi lelaki, kelmarin, berjaya memenangi perlumbaan yang terpaksa dihentikan seketika selepas bendera merah dikibarkan akibat insiden membabitkan jentera Anucha Nakcharoensri yang terbakar selepas lima pusingan perlumbaan.

Sebaik perlumbaan dimulakan semula, Decha berjaya muncul juara dengan masa keseluruhan 20’01.675s diikuti Yuki Takahashi (Musashi Boon Siew Honda Racing) kedua dengan masa 20’02.003s diikuti Tomoyoshi Koyama ketiga, 20’03.420s.

SS600-01 - Decha Kraisat
Decha Kraisart

“Anak lelaki saya lahir pada 3 Jun. Apabila menerima berita gembira ini, saya semakin bersemangat untuk meraih kejayaan.”

“Saya juga menamakannya sebagai Japan Kraisart kerana saya gembira dengan karier saya di sini sepanjang beraksi dalam Kejuaraan All Japan. Mungkin nama ini membawa tuah kepada saya.”

“Beberapa tahun lepas saya menamakan anak perempuan saya Asia Kraisart sebagai menghargai karier saya di Kejuaraan Motosikal Asia ini,” jelas Decha, bekas juara SuperSports 600cc tahun 2007 dan 2010.

Sementara itu, pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman (BikeART Racing Kawasaki) yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima kekal menerajui kedudukan keseluruhan dengan 89 mata.

Kedudukan podium di Suzuka melonjakkan Koyama ke tangga kedua dengan 85 mata, satu mata mengatasi seorang lagi pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi yang mengumpul 84 mata.

Dalam saingan Asia Production 250cc, asakan tiga pelumba Trickstar Racing sepanjang lapan pusingan perlumbaan tidak menghalang pelumba Thailand, Apiwat Wongthananon untuk muncul juara Perlumbaan 1 seterusnya kekal mendahului senarai keseluruhan pelumba.

Pelumba Yamaha Thailand Racing Team itu muncul juara dengan masa keseluruhan 20’08.466s sambil Yamamoto terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua sekalipun mendahului hampir keseluruhan perlumbaan.

Yamamoto menamatkan perlumbaan dengan masa 20’08.486s diikuti rakan sepasukan yang beraksi atas tiket wildcard, Takashi Yasuda ketiga dengan masa 20’10.015s.

Apiwat mendahului kedudukan keseluruhan dengan 111 mata diikuti rakan sepasukan, Peerapong Loiboonpeng dengan 85 mata.

Yamamoto naik ke tangga ketiga dengan 70 mata.

Keputusan Perlumbaan 1:
SuperSports 600cc
1. Decha Kraisart (THA) Yamaha 20’01.675s
2. Yuki Takahashi (JPN) Honda 20’02.003s
3. Tomoyoshi Koyama (JPN) Honda 20’03.420s
4. Dimas Ekky Pratama (INA) Honda 20’04.265s
5. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Kawasaki 20’05.165s

SS600-04
Podium SuperSport 600cc

Kedudukan keseluruhan:
1. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Kawasaki 89 mata
2. Tomoyoshi Koyama (JPN) Honda 85 mata
3. Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda 84 mata
4. Yuki Takahashi (JPN) Honda 79 mata
5. Dimas Ekky Pratama (INA) Honda 53 mata

Asia Production 250cc
1. Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha 20’08.466s
2. Takehiro Yamamoto (JPN) Kawasaki 20’08.486s
3. Takashi Yasuda (JPN) Kawasaki 20’10.015s
4. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 20’21.218s
5. Ayumu Tanaka (JPN) Kawasaki 20’22.890s

AP250-01
Asia Production 250cc

Kedudukan keseluruhan:
1. Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha 111 mata
2. Peerapong Loiboonpeng (THA) Yamaha 85 mata
3. Takehiro Yamamoto (JPN) Kawasaki 70 mata
4. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 65 mata
5. Galang Hendra Pratama (INA) Yamaha 54 mata

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.