22 Rumah, Tanaman Rosak Akibat Ribut Dan Hujan Batu

KUANTAN – Sebanyak 22 buah rumah rosak dan hasil tanaman termasuk pokok durian musnah akibat dipukul ribut serta hujan batu di perkampungan Felda Bukit Goh di sini, baru-baru ini.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu dikatakan terburuk sejak 36 tahun lalu dengan kebanyakan rumah terlibat terletak berhampiran kawasan perlombongan bauksit.

Seorang mangsa, Wan Nor Hayati Wan Hussin, 43, berkata, ketika kejadian dia bersama dua anak dan seorang anak saudara berada di dalam rumah.

“Kami tergamam mendengar bunyi dentuman guruh disertai angin kuat, petir dan hujan batu.

“Allah sahaja tahu perasaan kami dengan anak yang berusia 13 tahun menangis sambil memohon keampunan daripada saya sambil berkata kiamat telah tiba. Kami berpelukan kerana terlalu takut sehingga keadaan kembali reda,” katanya kepada pemberita ketika menerima bantuan segera daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Goh di rumahnya di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Sungai Lembing, Datuk Mohamed Shohaimi Md. Shah; Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan, Sulaiman Mat Saad dan Pengerusi JKKK Felda Bukit Goh, Mat Zahari Deraman.

Bagi seorang suri rumah, Faridah Pasmi, 45, dia dan suami yang uzur akibat penyakit angin ahmar hanya mampu menangis sambil berdoa agar selamat apabila dinding dan bumbung rumah tercabut diterbangkan angin.

“Dalam keadaan hujan saya memapah suami, Ahmad Bakar, 68, yang tidak boleh berjalan berteduh berhampiran rumah jiran kerana bimbang rumah akan roboh.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami selamat meskipun rumah hampir rebah dipukul ribut,” katanya sambil memberitahu kejadian tersebut merupakan yang kedua selepas dua ming­gu lalu.

Sementara itu, Mohamed Shohaimi berkata, bantuan segera termasuk kit bencana daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat diserahkan kepada mangsa terlibat.

“Saya turut memaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob agar diluluskan bantuan segera untuk membaik pulih rumah-rumah yang rosak akibat ribut.

“Selain di Felda Bukit Goh, dua buah rumah di Sungai Lembing di sini turut musnah dipukul ribut,” jelasnya. – Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.