Bauksit: 9 Tonto Ditahan Polis

KUANTAN – Sembilan lelaki dipercayai tonto yang membantu melindungi kegia­tan pengeluaran bauksit secara haram ditahan polis dalam tangkapan berasingan di sekitar kawasan perlombongan bahan mineral berkenaan di Felda Bukit Goh, dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, empat lelaki ditahan pada 15 Ogos lalu, manakala lima orang lagi pada 29 Ogos lepas di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana meng­­halang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Menurutnya, tonto-tonto berkenaan berusia antara 30 hingga 40 tahun berope­rasi pada sebelah malam dan dipercayai mengganggu anggota penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian dengan mengekori kenderaan badan penguatkuasa itu, selain cuba menakut-nakutkan mereka de­ngan membaling mercun.

“Mereka terdiri daripa­da pekerja dalam bidang pengang­kutan dan merupakan penduduk tempatan. Namun ada juga yang berasal dari negeri lain seperti dari Klang dan Shah Alam, Sela­ngor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Kerajaan sebelum ini mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di negeri ini selama tiga bulan bermula 15 Januari dan berakhir pada 14 April lalu yang kemudiannya dilanjutkan tiga bulan lagi sehingga 15 Julai lalu.

Pada 30 Jun lalu, Kabinet bersetuju tempoh moratorium terhadap aktiviti perlombongan bauksit di negeri ini yang berakhir pada 15 Julai dilanjutkan dua bulan lagi sehingga 14 September ini.

Abdul Aziz berkata, polis turut merampas tiga buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, dua buah kereta jenis Hyundai dan Pero­dua Myvi serta peralatan berupa tiga unit walkie talkie, sebatang buluh, sebatang cota dan pengunci stereng kenderaan.

Katanya, empat lelaki da­lam tangkapan pertama telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala lima orang lagi yang ditahan pada 29 Ogos masih ditahan reman.

“Kes ini masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya un­tuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, seramai 34 suspek termasuk tiga wanita ditahan dalam Op Amin Lejang Chini selama sebulan berkaitan kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini, baru-baru ini, selain merampas 31 buah motosikal dan menemukan tujuh rangka motosikal.

Tambahnya, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun itu dipercayai aktif dalam ke­giatan mencuri motosikal di daerah ini terutama di sekitar pusat beli-belah.

“Kesemua mereka ditahan di bawah Akta 379A, 411 dan 414 Kanun Keseksaan. Kita juga menuduh seorang suspek utama dengan 25 pertuduhan. Daripada maklumat diperoleh, suspek dikatakan aktif dalam kegiatan mencuri motosikal sejak dua tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply