Masalah Gangguan Bekalan Air Di Kuantan Jangka Selesai Hujung Tahun

KUANTAN – Masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku di sekitar kawasan FELDA Bukit Goh, Bukit Sagu dan Bukit Kuantan dekat sini sejak 10 tahun dijangka diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.

Ia berikutan projek pemasangan paip baharu dari Loji Air Semambu Fasa 2 ke Loji Air Bukit Goh yang bermula sejak tiga bulan lalu dijangka siap dalam tempoh berkenaan.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail, berkata setakat ini projek pemasangan paip MS 400MM berkenaan iaitu iaitu sepanjang 4.6 kilometer (km) sudah 42 peratus siap.

“Kita jangka projek bernilai RM2 juta itu siap sepenuhnya hujung tahun ini dan masalah gangguan bekalan air membabitkan 20,000 penduduk dapat diselesaikan,” katanya selepas merasmikan Projek Sistem Bekalan Air Paip MS 400MM Ke Tangki Sedutan Loji Air Bukit Goh di Felda Bukit Goh di sini, Jumaat.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Suhaimi Mohamed Shah dan Pengurus Kanan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Kuantan, Ir Abdul Aziz Mohamed Noh.

Abdul Manan berkata, masalah gangguan bekalan air yang sering melanda kawasan itu berpunca daripada sumber air mentah dari Sungai Riau yang berkurangan dan tekanan rendah.

“Berikutan masalah ini, alternatif jangka pendek adalah membekalkan air dari Loji Air Bukit Sagu namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, pemasangan paip baharu itu adalah bagi menjamin bekalan tidak terputus kerana air bersih diambil dari Loji Semambu berupaya menghasilkan air mengikut kapasiti yang ditetapkan.

“Bagaimanapun saya minta kepada penduduk supaya bersabar dan menunggu sehingga projek siap sepenuhnya, saya yakin masalah gangguan bekalan air tidak akan berlaku lagi walaupun pada hari perayaan,” katanya. – BH Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.