Ini Hadiah Untuk Malaysia – Siti Noor Radiah Ismail

KUALA LUMPUR – “Ini hadiah untuk Malaysia,” kata atlet negara, Siti Noor Radiah Ismail mengenai pingat gangsa yang dimenanginya pada temasya Sukan Paralimpik Rio, Brazil.

Atlet berusia 23 tahun dari Segamat, Johor itu meraih pingat gangsa di luar jangkaan dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) wanita dalam aksi di Stadium Olimpik, semalam.

Beliau berjaya melakukan lompatan sejauh 5.20 meter (m) dalam percubaan ketiga, sekali gus mengatasi rekod Sukan Para Asia miliknya iaitu 5.10m yang direkodkan di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

“Saya cuba buat yang terbaik di sini. Saya cuba memperbaiki catatan yang tidak dapat dilakukan ketika Sukan Para Asean (di Singapura, tahun lepas). Jadi, inilah hasilnya,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Selepas sekadar meraih pingat perak pada Sukan Para Asean, beliau tidak menjangka yang beliau dapat beraksi di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro.

“Saya sebenarnya saya tidak menjangkakan yang saya dapat datang sini. Saya nak ucap terima kasih kepada jurulatih yang banyak mengajar, keluarga, penyokong dan rakyat Malaysia yang beri sokongan dan doa, inilah hadiahnya,” kata Siti Noor Radiah, yang membuat penampilan pertama dalam temasya Sukan Paralimpik.

Pingat emas acara itu dimenangi Mikela Ristoki dari Croatia dengan jarak 5.79m manakala pemegang rekod dunia dan paralimpik dari Poland, Karolina Kucharczyk terpaksa berpuas hati dengan jarak 5.55m untuk pingat perak.

Rekod dunia Kucharczyk dalam acara itu ialah 6.09m yang direkodkan pada Kejohanan Olahraga IPC di Lyon, Perancis pada 2013 manakala rekod Sukan Paralimpik pula ialah 6.00m pada edisi lepas di London pada 2012.

Sementara itu,seorang lagi atlet Malaysia, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin menamatkan saingan di tempat keempat dengan jarak 4.91m. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.