Dr Fauziah Gembira Setibanya Di Bangkok

BANGKOK: Aktivis kemanusian Malaysia, Dr Fauziah Hasan tetap berada di dalam keadaan gembira dan ceria setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini selepas dibebaskan oleh rejim Israel.

Ketibaan aktivis misi Women Boat’s to Gaza (WBG) di Bangkok dari Tel Aviv, Israel itu disambut oleh pegawai Kedutaan Malaysia di Thailand dan suaminya, Prof Dr Mohd Alauddin Mohd Ali yang baharu sahaja tiba dari Kuala Lumpur.

“Beliau (Dr Fauziah) berada dalam keadaan gembira,” kata seorang pegawai kedutaan kepada Bernama selepas menyambut wakil tunggal Malaysia dalam misi kemanusiaan ke Gaza itu, Jumaat.

Dr Fauziah menurut pegawai kedutaan itu bagaimanapun tidak dibenarkan meninggalkan ruangan transit di lapangan terbang itu sementara menunggu penerbangannya ke Kuala Lumpur.

Beliau tiba di Bangkok pada 2 petang (waktu Thai) menerusi penerbangan Thai Airways TG4594  dari Tel Aviv dan akan pulang ke Malaysia menerusi penerbangan TG417 pada 4 petang (waktu Thai).

Aktivis kemanusiaan negara itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 7 malam.

Dr Fauziah ditahan oleh tentera Israel pada Rabu lepas bersama 10 anggota misi WBG yang lain semasa menaiki kapal Zaytouna-Oliva menuju ke Gaza.

Kapal misi kemanusiaan anjuran Freedom Flotilla Coalition itu kemudiannya ditunda ke Pelabuhan Ashdod. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.