Azmi Ganti Irfan Kendalikan The Fighters

KUALA LUMPUR – Teka-teki berhubung pengendali baharu skuad The Fighters akhirnya terjawab apabila pihak pengurusan Felda United mengesahkan pelantikan Azmi Mohamed bagi tempoh setahun bermula musim 2017.

Pengendali Young Fighters FC itu akan menggantikan Irfan Bakti Abu Salim yang melepaskan jawatan susulan ke­gagalan beliau mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) Felda United iaitu meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Presiden pasukan kelab itu, Datuk Hanapi Suhada dalam kenyataannya memaklumkan pelantikan Azmi yang juga bekas pemain kebangsaan era 90-an itu diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat baru-baru ini.

Datuk Hanapi Suhada, Pengarah Besar FELDA merangkap Presiden Pasukan The Fighters
Datuk Hanapi Suhada, Pengarah Besar FELDA merangkap Presiden Pasukan The Fighters

Bagaimanapun, beliau tetap me­ngucapkan terima kasih kepada Irfan kerana berjaya membawa The Fighters mencapai kejayaan hingga ke tahap tertinggi iaitu menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, sekali gus melayakkan mereka bertanding pada Piala AFC, musim depan.

“Pastinya kami (Felda Uni­ted) berasa berat untuk melepaskan Irfan kerana beliau telah membawa banyak peningkatan besar buat pasukan walaupun gagal mencapai KPI iaitu meraih sekurang-kurangnya satu piala yang ditetapkan awal musim.

“Irfan juga merupakan jurulatih yang bagus dan mempunyai pengalaman yang luas serta berani mempertengahkan beberapa pemain muda untuk bermain.

“Setelah berbincang dan beliau juga telah menyatakan sebab melepaskan jawatan itu maka kami menghormati keputusannya.

“Tahun depan kita bakal beraksi dalam saingan Piala AFC dan pastinya cabaran lebih besar bakal dihadapi pasukan.

“Pihak pengurusan akan sebaik mungkin merencana perancangan musim depan untuk terus menaikkan nama Felda United,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Felda United.

Azmi Mohamed
Azmi Mohamed

Pada musim 2016, Azmi yang merupakan anak Peneroka dari Rancangan Felda Bukit Wa Ha, Kota Tinggi, Johor itu dilantik memegang jawatan Pegawai Teknikal bagi memantau pergerakan pasukan-pasukan dibawah naugan Felda United.

Malah, keputusan melantik Azmi juga diambil setelah mengambil kira pengalaman beliau dalam arena bola sepak negara dan juga pernah membimbing pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II). – UTUSAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.