Program Kuliah Dan Dhuha Tarik Minat 100 Penduduk Di FELDA Bukit Goh

KUANTAN – Kira-kira 100 penduduk menyertai kuliah dan solat sunat dhuha di Masjid Sultan Ahmad Shah, Felda Bukit Goh di sini yang diadakan setiap Jumaat sejak awal tahun lalu.

Program anjuran jawatan kuasa masjid itu yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 9.30 pagi antara lain bertujuan mengimarahkan masjid di samping mengeratkan silaturrahim antara penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Goh, Mat Zahari Deraman berkata, program kuliah dan solat dhuha menarik perhatian penduduk terutama golongan wanita untuk menyertainya.

“Program tersebut diilhamkan bersama ketika mesyuarat jawatan kuasa masjid dalam usa­ha mengimarahkan rumah Allah SWT dengan pelbagai aktiviti melibatkan semua golongan.

“Alhamdulilah, aktiviti tersebut berjalan lancar dan mendapat sambutan cukup menggalakkan pada setiap minggu.

“Sebagai pengisian, kita menjemput penceramah bebas bagi mengupas persoalan berkaitan agama dan isu semasa,” katanya.

Menurut Mat Zahari, selain kuliah dan solat dhuha, pelbagai aktiviti dilaksanakan di masjid berkenaan seperti bergotong-royong, kursus haji, ceramah agama, bacaan yasin dan aktiviti kemasyarakatan seperti memasak bubur asyura.

“Setiap program yang diaturkan berjalan lancar dan menda­pat sambutan menggalakkan dari­pada warga Felda Bukit Goh,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Kamariah Haron, 61, berkata, dia menyertai setiap program yang dianjurkan di masjid berkenaan sebagai mengisi masa terluang dan meningkatkan ke­takwaan kepada Allah SWT.

“Saya dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama setiap kali datang ke masjid di samping menambah pengetahuan agama,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply