Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, susu mentah tanpa perlakuan haba seperti pendidihan dan pempasteuran boleh mengandungi bakteria berbahaya seperti mycobacterium bovis dan brucella.

“Di samping itu, meminum susu unta mentah tanpa perlakuan haba disyaki menjadi punca jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) dalam beberapa kes kerana susu mentah itu berkemungkinan mengandungi virus MERS-CoV. Penyakit-penyakit ini boleh membawa maut,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang membeli susu mentah, digesa supaya mendidihkan susu berkenaan terlebih dahulu sebelum meminumnya.

Beliau berkata demikian susulan maklumat diterima kementerian mengenai pihak tertentu mempromosikan susu mentah yang tidak dikenakan perlakuan haba dengan menyatakan kawalan rantaian sejuk adalah dikekalkan dan susu itu adalah selamat untuk diminum terus.

Dr. Noor Hisham berkata penjualan susu mentah tanpa perlakuan haba adalah satu kesalahan di bawah peraturan 51(1A), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Disember ini.

“Sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun,” katanya.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melalui laman sesawang di http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di www.facebook.com/bkkmhg. – BERNAMA