Isu Dengan Felda United Selesai, Rizal Tekad Bantu Kedah Musim Hadapan

PETALING JAYA – Penerima Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik, Mohd Rizal Ghazali bertekad membantu Kedah melakar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan selepas isu kontraknya dengan Felda United selesai.

Beliau yang sebelum ini dipalit dengan kontroversi itu menjelaskan kedua-dua pihak sudah mencapai kata sepakat dan fokusnya kini adalah membantu skuad Lang Merah menghadapi musim baharu Liga-M.

“Perkara itu sudah selesai dan saya harap dapat membantu Kedah mencapai kejayaan musim depan…Kalau ada rezeki untuk terus bersama skuad kebangsaan, saya akan cuba beri yang terbaik,” katanya yang mesra dengan panggilan ‘Jai’ dalam kalangan rakan sepasukan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 di sini, baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan ketua jurulatih Felda United, Azmi Mohamed akan mengheret Mohd Rizal kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan isu kontrak itu.

Ia susulan tindakan pemain berkenaan yang dilaporkan menandatangani kontrak lanjutan bersama skuad Lang Merah walau pun sudah menandatangani perjanjian dengan Felda United sebelum final Piala Malaysia.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe menyifatkan pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah Jurulatih Terbaik sebagai medan untuknya terus membantu skuad Lang Merah melakar lebih banyak kejayaan pada saingan Liga-M musim depan.

“Anugerah ini merupakan penghormatan untuk saya dan saya berterima kasih kepada pengurusan KFA serta bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal yang banyak memberi nasihat untuk menguruskan pasukan.

“Tidak lupa juga kepada penyokong Kedah yang selama ini memberikan sokongan. Namun perjalanan saya sebagai jurulatih masih jauh lagi,” katanya.

“Sebagai jurulatih, saya amat bangga apabila ada pemain Kedah tercalon dalam beberapa kategori pada majlis anugerah ini kerana ia menunjukkan mereka mempunyai peminat tersendiri,” jelas Tan yang melanjutkan kontrak selama setahun bersama KFA.

Beliau juga menjelaskan kemenangan Mohd Rizal pada majlis anugerah berkenaan merupakan bukti kejayaan usaha berterusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam melahirkan lebih ramai pemain muda yang berbakat. – BERNAMA

Leave a Reply