Doktor Muda Kelahiran FELDA Gemas Cipta Kejayaan Bermula Dari ‘Klinik Segera’

Wajah manis dengan tutur kata tersusun ketika berbicara, tidak hairanlah kenapa doktor muda ini sering dilihat menjadi panel jemputan program di kaca televisyen berkaitan dunia perubatan haiwan.

Siapa sangka dari bidang yang tidak diminati, membawa Dr. Zulkefle Nizam sejauh ini, semakin dikenali dalam bidang veterinar di Malaysia.

Pernah bercita-cita ingin menjadi peguam dan guru kerana minat yang mendalam dalam dunia komunikasi dan mengajar, namun akhirnya melupakan hasrat itu demi memenuhi impian ibu bapanya yang ingin melihat dia bergelar seorang doktor.

Lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zulkefle mengakui, pada awalnya agak kurang yakin dengan kehendak pasaran terhadap keperluan doktor veterinar, namun atas dorongan keluarga dan rakan-rakan, dia memberanikan diri.

Memulakan langkah dengan beroperasi dari rumah, siapa sangka ‘klinik’ segera itu mendapat sambutan.

Sempat dibuka selama lapan bulan, atas dasar sambutan amat menggalakkan, dia terpaksa menyewa sebuah lot kedai bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Bertitik tolak dari situ, dia terus melangkah yakin membuka sebuah klinik pertama yang terletak Taman Equine, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.

Menurut Dr. Zulkefle, pada awalnya, dia bekerja sebagai pegawai veterinar di sebuah syarikat pemasaran ubat-ubatan, seterusnya selepas tiga tahun menimba pengalaman dalam bidang berkenaan, dia merasakan sudah sampai masa berkongsi kepakaran dalam bidang perubatan veterinar.

Cadangan membuka klinik berkenaan diutarakan seorang rakan yang merungut tentang kos mahal yang perlu dibayar bagi rawatan kucing miliknya.

“Bermula dari situ, saya merasakan bidang veterinar boleh memberi pulangan besar. Saya mulakan di rumah kerana tidak mempunyai modal besar untuk menyewa lot kedai, malah harga yang saya kenakan jauh lebih murah dari klinik haiwan lain.

“Apa yang mengejutkan, saya menerima ramai pelanggan sehingga boleh dikatakan, rumah yang saya duduki itu dipenuhi kucing-kucing yang perlu dirawat.

“ Saya dan isteri terpaksa berkongsi rumah dengan haiwan-haiwan yang perlu dimasukkan ke dalam ‘wad’,” katanya ketika ditemui Mega Rona baru-baru ini.

Ketika ditanya tentang cabaran dan keseronokan bergelar doktor veterinar, ujar anak kelahiran Felda Gemas di Negeri Sembilan itu, merawat haiwan lebih sukar kerana tidak boleh bercakap seperti manusia dan doktor perlu tahu apa masalah yang dihadapi haiwan berkenaan.

“Lazimnya saya lihat, kalau manusia, mereka lebih tenang dan reda jika kehilangan orang tersayang tetapi jika pemilik haiwan, mereka sukar menerima kenyataan apa yang berlaku terhadap haiwan belaan, malah ada ketika sukar ditenangkan.

“Itu merupakan antara cabaran mengendalikan klinik veterinar selain haiwan-haiwan mempunyai mood yang berbeza. Saya suka membahasakan haiwan-haiwan berkenaan sebagai ‘budak’ kerana merasakan lebih mesra ,” katanya.

Dia menambah, pengalaman menyambut kelahiran haiwan juga sangat menyeronokkan, sama seperti proses kelahiran manusia, haiwan perlu dipantau sama ada perlu melahirkan secara normal ataupun pembedahan jika mengalami komplikasi.

Pun begitu, bercakap soal menyambut kelahiran haiwan, dia pernah berdepan dengan pengalaman menyedihkan apabila salah seekor kucingnya tidak sempat melahirkan anak dan mati di depan pintu bilik pembedahan.

Tidak mementingkan keuntungan semata-mata, dia turut menjalankan tanggungjawab sosial apabila membantu mana-mana pelanggan yang membawa kucing jalanan untuk dirawat, dengan memuat naik di laman media sekiranya haiwan berkenaan memerlukan pembiaya bagi membiayai kos rawatan yang mahal. – UTUSAN

Leave a Reply