Momentum Turun Naik Warnai Bursa Malaysia, Serantau Pada 2016

Tahun 2016 menyaksikan prestasi yang amat tidak menentu bagi pasaran ekuiti di Malaysia dan juga di seluruh dunia.

Daripada kegawatan politik, kadar faedah bawah sifar, penurunan harga minyak mentah hinggalah kepada kemenangan mengejut Donald Trump dalam pilihan raya presiden yang paling sengit dalam sejarah Amerika Syarikat (AS), telah memberi kejutan kepada pasaran global.

Di Eropah, benua itu menyaksikan peristiwa Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (Brexit) dan perletakan jawatan Perdana Menteri Itali susulan kekalahan dalam referendum dan keputusan Presiden Perancis yang tidak mahu bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Bagi pasaran tempatan, Bursa Malaysia mencatatkan prestasi tidak menentu tahun ini dengan petunjuk pasaran indeks FBM KLCI turun ke paras terendahnya pada 1,600 mata pada 21 Jan, apabila harga minyak mentah jatuh menjunam buat pertama kalinya sejak 2003.

Harga minyak mentah jatuh ke paras bawah US$30 setong berikutan lebihan bekalan global dan kelembapan ekonomi China, dan ini menyebabkan syarikat-syarikat berkaitan Petronas dan kilang penapisan minyak terjejas teruk.

Inventori minyak mentah meningkat sebanyak 4.6 juta tong pada 15 Jan, 2016 kepada 485.2 juta, jauh lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis sebanyak 2.8 juta tong, dan situasi ini diburukkan lagi dengan kemasukan semula minyak Iran dalam pasaran global selepas penarikan balik sekatannya oleh AS.

Menurut MIDF Investment, syarikat-syarikat minyak terus membuang pekerjanya manakala mata wang negara-negara pengeluar komoditi berada dalam kegawatan.

Pasaran melantun semula pada Mac apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) menstabilkan kadar faedah dan ia dijangka tidak menaikkan lagi kadar sepanjang tahun ini disebabkan risiko luaran yang dihadapi ekonomi AS.

Fed, bagaimanapun, menaikkan kadar faedahnya sebanyak 0.25 peratus pada Disember, kali pertama pada 2016 selepas kenaikan sekali pada 2015. Bank Pusat AS itu juga membayangkan akan ada tiga lagi kenaikan pada 2017.

Di Bursa Malaysia, petunjuk pasaran itu terus meningkat pada Mac dan ditutup bagi suku pertama 2016 pada 1,718 mata, apabila dana asing menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk bersih RM4.4 bilion dalam tempoh tersebut.

Pada April, indeks itu meningkat ke paras tertinggi tahun ini pada 1,727.99 mata apabila pasaran minyak stabil tetapi keadaan tidak menentu melanda semula pada awal Mei berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah AS, apabila ekonomi terbesar dunia itu merancakkan aktiviti ekonominya.

Sejurus selepas itu berlaku pula referendum pada 23 Jun sama ada United Kingdom perlu keluar atau kekal dalam Kesatuan Eropah.

Pasaran dikejutkan dengan keputusan tidak dijangka rakyat Britain yang memilih untuk mengundi keluar daripada perkumpulan itu yang menyebabkan Pound British dan indeks petunjuk pasaran FTSE100 masing-masing menjunam 11 peratus dan 9.0 peratus pada dagangan pasaran hari berikutnya.

Bursa Malaysia turut terjejas bersama dengan pasaran lain, dengan indeks utama jatuh ke paras terendah hariannya sekitar 1,611 mata sebelum kembali normal ke paras 1,630.

Bagaimanapun, rombakan kabinet pada 27 Jun yang menyaksikan pelantikan empat menteri baharu termasuk Menteri Kewangan Kedua baharu dan beberapa timbalan menteri telah membantu memulihkan semula sentimen dan merangsang FBM KLCI mengakhiri suku kedua 2016 pada 1,654 mata.

Pasaran saham kembali lega susulan pengumuman Bajet 2017 pada lewat Oktober.

Bajet itu berlandaskan kepada purata harga minyak mentah pada US$45 setong dan pendapatan kerajaan berpotensi meningkat sekiranya harga minyak berada pada paras lebih tinggi.

Para pelabur memberikan reaksi positif kepada pengumuman bajet itu yang membantu melonjakkan indeks petunjuk pasaran kembali ke paras 1,670 meski pun ringgit menyusut ke paras RM4.20 berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, keputusan mengejut pilihan raya Presiden AS pada November yang menyaksikan kemenangan calon Republican Donald Trump, telah menyebabkan pasaran global jatuh menjunam berikutan ketidakpastian tentang bagaimana pentadbiran beliau akan memberi kesan kepada dasar ekonomi AS dan iklim ekonomi dunia.

Susulan itu, FBM KLCI jatuh ke paras bawah 1,620 mata buat pertama kalinya sejak Jun 2016.

“Ancaman kepada Malaysia dan pasaran sedang pesat membangun susulan pemilihan Trump sebagai presiden adalah sekiranya beliau melaksanakan dasar perdagangan perlindungan, dan ini adalah risiko yang menyebabkan pelabur merasa tidak pasti sehingga terdapat kejelasan mengenai isu tersebut,” kata Naib Presiden FXTM bahagian Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran Jameel Ahmad dalam temu bual menerusi emel.

Beliau berkata pelabur global tidak sabar-sabar menunggu bagaimana pasaran akan memberi reaksi apabila Trump mengambil alih pentabdiran secara rasmi pada 20 Jan, 2017, yang sudah pastinya akan mendapat perhatian dunia.

Sementara itu, di dalam Negara, Felda Global Ventures Holdings Bhd menjadi tumpuan selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan ia melepaskan semua pegangan sahamnya dalam syarikat pengeluar minyak sawit itu, dengan saham FGV jatuh kepada RM1.53 sesaham pada sesi penutup 23 Dis.

Menurut laporan berita, dana pencen itu, yang merupakan antara pelabur utama dalam tawaran awam permulaan FGV pada 2012, memegang 3.85 peratus kepentingan pada 18 Mac dan merupakan pemegang saham ketujuh terbesarnya.

“FBM KLCI, meskipun menunjukkan daya tahan dalam menghadapi penurunan semasa awal tahun, setakat ini tidak mampu bertahan dengan kejutan daripada keputusan referendum Brexit dan keputusan pilihan raya presiden AS, apabila mencatatkan prestasi tidak berubah dalam jajaran antara 1,620-1,640 mata sejak November,” kata MIDF Investment.

Antara Januari hingga 27 Dis, jualan bersih oleh pelabur asing meningkat kepada RM3.0 bilion namun ia lebih rendah berbanding RM19.5 bilion pada 2015.

Menurut laman web Bursa Malaysia, pada November, institusi asing menyumbang 12.12 peratus daripada jumlah dagangan saham yang diurus niaga semasa bulan tersebut dan institusi tempatan sebanyak 22.01 peratus.

Sementara itu, pendapatan agregat 30 syarikat yang membentuk FBM KLCI diunjur melantun semula 5.6 peratus pada 2016, selepas turun 12.8 peratus pada 2015.

MIDF Investment berkata pemulihan dijangka berterusan sehingga ke tahun depan, apabila pendapatan agregat diunjur berkembang sebanyak 7.5 peratus pada 2017.

FBM KLCI ditutup pada 1,641.73 pada 30 Dis, naik 3.80 mata berbanding 1,637.93 pada Khamis. Indeks petunjuk pasaran itu lebih rendah berbanding 1,692.51 yang dicatatkan pada penghujung 2015.

Bursa tempatan mengakhiri tahun ini dengan 12 tawaran awam permulaan berbanding 13 pada tahun sebelumnya. – BERNAMA

Leave a Reply